Normal Baharu: Industri muzik tempatan maju kerana PKP
Saraya Mia
Mei 3, 2020 09:00 MYT
Mei 3, 2020 09:00 MYT
BUDAYA normal baharu akibat wabak pandemik COVID-19 bukan alasan bagi mereka dalam industri hiburan untuk berasa murung dan mundur.
Menurut pengasas XENO Entertainment dan XENO Music, Melaka Boy atau nama sebenar Prashan Chitty,
kemudahan teknologi yang ada pada hujung jari menyebabkan mereka dalam industri muzik mampu menghasilkan bahan-bahan berkualiti di keselesaan rumah masing-masing.
"Dalam masa enam hingga lapan minggu kebelakangan ini, saya rasa industri muzik kita telah maju. Oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), industri muzik kita telah maju.
"Kita ada teknologi, sekarang banyak artis berjaya menghasilkan lagu yang dirakam sepenuhnya dari rumah menggunakan mik dari iPhone, mik dari komputer, dan mereka hantar fail itu kepada produser untuk menghasilkan lagu," kata Prashan dalam temu bual eksklusif bersama Rancak TV baru-baru ini.
Tambah beliau, kini adalah masa untuk artis-artis tanah air menyesuaikan diri serta belajar benda baharu untuk bersedia di masa hadapan.
“Yang menjadi kelebihannya ialah seluruh dunia berada dalam keadaan ini, jadi kalau kita ambil inisiatif sekarang untuk belajar, kita akan ke hadapan, kita akan lebih maju berbanding pesaing kita,” ujar Prashan.
Kata beliau lagi, pemain industri hiburan harus memanfaat tawaran yang ada di depan mata terutamanya segala platform media sosial.
“Sebelum ini, ramai saya tengok pelakon yang tidak suka media sosial atau tidak pandai menggunakan Instagram, namun sekarang mereka terpaksa kerana media sosial seperti Instagram dan YouTube kini dapat menjana pendapatan tambahan.
“Kepada artis-artis sebelum ini yang beriya-iya ingin menjadi penerbit atau pengarah filem, inilah masanya untuk cuba membuat kandungan sendiri dari rumah, filem pendek dan kandungan berjenama (branded content),” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau percaya trend digital yang menunjukkan peningkatan ketara dan tiada tanda reda mampu dijadikan batu loncatan bagi pemain industri hiburan.
Untuk rekod, Prashan merupakan pengurus kepada selebriti popular tanah air, Ayda Jebat selain Mia Sara dan Alyssa Dezek.