Nora Danish, Tiz Zaqyah positif COVID-19
Astro Awani
Mei 9, 2021 16:23 MYT
Mei 9, 2021 16:23 MYT
KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Nora Danish dan Tiz Zaqyah mengumumkan mereka dijangkiti wabak COVID-19.
Kedua-dua aktres dimaklumkan mengenai keputusan ujian saringan positif oleh pihak hospital pada Ahad pagi.
Di akaun Instagram peribadinya, Nora berkata, pada Sabtu, dia menjalani ujian calitan (swab test) kerana mempunyai kontak rapat kategori C.
“Keputusan pagi tadi mendapati Nora positif walaupun langsung tiada sebarang simptom.
“Sekarang Nora self-quarantine di dalam bilik agar anak-anak dan suami selamat. Mereka sudah lakukan PCR test 12 tengah hari tadi dan doakan untuk kami semua,” katanya dalam hantaran di akaun media sosial itu.
Pada awalnya juga, Nora, 39, berkata, dia mempunyai temu janji vaksinasi, namun telah dinasihatkan untuk menangguhkannya terlebih dahulu.
Sehubungan itu, Nora menasihatkan sesiapa sahaja yang pernah terjumpa atau berhubung dengannya antara 4 hingga 8 Mei agar turut melakukan ujian calitan bagi memastikan status kesihatan masing-masing.
Sementara itu, Tiz Zaqyah pula mendedahkan, dia melakukan ujian calitan selepas berasa tidak selesa dengan kesihatan dirinya.
Tiz Zaqyah atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak, 33, berkata, dia dapat merasakan tubuhnya menggigil dan tidak seperti kebiasaan selain mengalami batuk ringan.
Sebaik dimaklumkan positif COVID-19, Tiz Zaqyah berkata, dia dinasihatkan menjalani kuarantin di rumah.
“Tolong dapatkan segera ujian jika ada demam, selesema, bersin atau sakit kepala. Jangan terlalu yakin, sebab mungkin ada yang tiada simptom… pergi buat ujian sebelum menjadi lebih teruk. Duduk di rumah… virus ada di mana-mana,” kata Tiz Zaqyah menitip nasihat buat pengikutnya di Instagram.