Nora Danish tarik diri daripada perniagaan kosmetik OhMostWanted
Astro Awani
Mei 18, 2019 20:34 MYT
Mei 18, 2019 20:34 MYT
MENGAMBIL langkah terbaik dan muktamad, pelakon Nora Danish akhirnya mengumumkan tidak lagi mempunyai sebarang kaitan lagi dengan produk kosmetik jenama OhMostWanted sejak April lalu.
Selepas dua tahun menjalankan perniagaan berkenaan bersama tiga lagi rakan kongsi, isteri kepada Nedim Nazri ini percaya, keputusan ini sudah ditimbang tara sebaik mungkin.
“Selepas memikirkan perkara ini semasak-masaknya dan di atas sebab tertentu, saya percaya apa yang dilakukan ini untuk kebaikan bersama.
“Saya sendiri begitu mencintai perniagaan kosmetik dan mempunyai perancangan lain pada masa mendatang. Melihat perkembangan dan kejayaan jenama ini daripada hari pertama hingga sekarang.
"Saya juga percaya penarikan diri ini sudah tepat waktunya untuk membiarkan rakan kongsi lain meneruskan legasi yang dimulakan,” kata Nora, yang juga seorang dan ahli perniagaan.
Tambahnya, penarikan dirinya juga bukan kerana mempunyai masalah dengan rakan kongsi lain.
“Kami profesional dalam hal perniagaan. Apa yang dilakukan ini adalah atas kehendak sendiri. Saya doakan mereka terus berjaya,” katanya.
Nora juga berharap apa yang dijelaskan ini dapat memberikan pencerahan supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini mahupun salah faham.
“Susulan itu, sebarang imej atau nama saya tidak boleh digunakan oleh jenama itu lagi untuk apa saja tujuan promosi, berkuat kuasa 1 Mei lalu, supaya tidak berlaku sebarang kekeliruan.
“Pihak mereka mempunyai masa empat bulan untuk mengeluarkan gambar dan video saya daripada tempoh kuat kuasa,” katanya.
Optimis dengan apa yang tertulis, Nora kini selesa memberi tumpuan kepada dua perniagaan lain termasuk mengusahakan Salun Karva dan jenama pakaian OwlbyNd.
Dalam perkembangan lain, pelakon drama Imaan itu memilih untuk berehat di bulan Ramadan, sekali gus memberi perhatian kepada keluarga.
“Masa saya banyak dihabiskan di rumah bersama keluarga.
“Ada kalanya kami sekeluarga berbuka di rumah atau memilih lokasi di luar,” katanya.