Pelakon Iqram Dinzly pada Sabtu, telah mengejutkan ramai pihak apabila dia memuat naik beberapa keping foto pernikahannya dengan seorang gadis.

Menerusi foto yang dikongsi di akaun Instagramnya itu, ada beberapa hashtag (#) yang digunakan bersama kapsyen yang ditulis Iqram.

Pelakon berusia 32 tahun itu telah menulis kapsyen, “Alhamdulillah.. Dengan sekali lafaz. #aamiiiin *maafkandakuatasrahsiaini,jangan jadikaniadendamsemalamitu. #married #nikahgantung #miracle”.

Foto tersebut menunjukkan tangan Iqram sedang dicium oleh seorang wanita di hadapan sebuah pelamin.

Perkongsian tersebut telah mendapat lebih 4 ribu likes, 174 komen (ketika artikel ini ditulis) serta ucapan tahniah daripada pengikut Iqram yang kebanyakannya terkejut dengan berita pernikahan tersebut.

Bagaimanapun, dua jam selepas itu Iqram memuat naik sekeping lagi foto dia dan ‘isteri’ bersama ibu dan bapa mertua serta ‘iparnya’.

iqram

Pada foto tersebut Iqram telah meletakkan kapsyen “Bergambar kenangan dengan mentua & ipar , selepas sah #dendamsemalam #azalea”.

Akhirnya debaran para peminat terjawab apabila melihat pada (#) digunakan Iqram dan selepas diamati dengan teliti, wanita bertuah yang ‘dikahwininya’ itu ialah pendatang baru Adibah Yunus, mertuanya pelakon Kuza dan Esma Daniel manakala iparnya pula Azwan Kombos.

Rupanya-rupanya foto tersebut merupakan salah satu adegan dalam drama berjudul ‘Dendam Semalam’ yang akan ditayangkan di slot televisyen tempatan. -Astro Gempak