Nik Aziz pernah menangis dengar lagu 'Mentari Merah Di Ufuk Timur' - Amy Search
Azyyati Ahmad
Februari 13, 2015 20:53 MYT
Februari 13, 2015 20:53 MYT
Tidak ramai sebenarnya di kalangan selebriti tempatan yang berpeluang bersemuka dua mata dengan tokoh politik tempatan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz sepanjang hayat beliau.
Salah seorang selebriti tempatan yang telah beberapa kali bertemu Allahyarham adalah vokalis kumpulan rock terkenal Search iaitu Amy.
Menurut Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 56, Allahyarham pernah menitiskan air mata ketika mendengar Amy mendendangkan salah sebuah hitnya.
"Banyak sebenarnya nostalgia terindah saya dan Allahyarham Tok Guru, antaranya adalah apabila dia menangis ketika saya menyanyikan lagu 'Mentari Merah Di Ufuk Timur'. Ketika itu saya ke Kota Bharu bagi satu program belia sekitar tahun 2013.
Namun Amy berkata, kali pertama dia bertemu dengan Nik Aziz adalah sekitar tahun 2011 apabila Allahyarham datang ke restorannya di Wangsa Maju.
“Ketika itu saya terkejut apabila diberitahu bahawa Nik Aziz mahu datang ke restoran saya. Pertemuan itu merupakan waktu yang tepat yang mana semasa itu, jiwa saya tengah ‘parah’ kerana ada satu kejadian saya ditipu.
Kesempatan itu saya ambil untuk bercerita mengenainya dan kata-kata yang sukar untuk saya lupa apabila dia mengingatkan saya mengenai kesusahan menimpa.
Kata Allahyarham ‘hanya Allah yang boleh tolong hambanya yang dalam kesusahan’. Itu sebenarnya yang paling bermakna dalam pertemuan pertama kami,” cerita Amy ketika dihubungi Astro AWANI.
Amy Search menganggap Allahyarham sebagai seorang ikon yang sangat merendah diri - Foto sumber Kimgooi.wordpress.com
Selepas pertemuan tersebut, Amy kemudian sekali lagi secara kebetulan dapat bertemu dengan Mursyidul Am PAS itu di Madinah ketika menunaikan umrah dua tahun lepas.
“Saya bertemu di Madinah dan sekalipun tak menyangka akan terserempak (Nik Aziz) di Madinah. Selepas itu, beliau menjemput saya untuk makan malam bersama,
“Salah satu sifat Allahyarham yang saya kagumi adalah rasa rendah dirinya, walaupun beliau dipandang sebagai seorang Ulamak yang tinggi tarafnya, namun masih lagi penuh rasa rendah diri dalam jiwa.
Saya pernah singgah solat Subuh di masjid beliau di Kota Bharu dan dalam masa yang sama beliau turut ada solat bersama-sama. Dengan ramah mesra, beliau terus mengajak saya bersarapan di rumahnya. Itu kualiti sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat yang saya dapat dilihat dalam diri Allahyarham,” jelas Amy yang turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak dapat menziarahi pengebumian Allahyarham pada Jumaat di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.
Nik Abdul Aziz menghembuskan nafas terakhir pada usia 84 tahun di kediamannya pada pukul 9.40 malam Khamis, 12 Februari kira-kira sejam selepas dibawa pulang dari hospital.