Nik Abduh tegur peminat Coldplay, Blackpink
Sinar Harian
Mei 24, 2023 12:10 MYT
Mei 24, 2023 12:10 MYT
KOTA BHARU: Kehadiran kumpulan muzik terkemuka dunia di negara ini terus mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang bertindak menegur peminat kumpulan rock dari British, Coldplay dan juga kumpulan K-Pop, Blackpink.
Beliau menjelaskan, mereka yang menganggap hiburan melalaikan sebagai memberi ketenangan jiwa seperti tubuh dewasa tetapi berakal kanak-kanak.
“Mereka pula terus merengek mahukan ketenangan jiwa daripada Coldplay dan Blackpink. Tubuhnya dewasa. Akalnya kanak-kanak,” katanya yang dimuat naik pada ruangan status di Facebooknya pada Rabu.
Beliau berkata, hiburan kehidupan sebenar telah pun diturunkan Allah dengan menghadiahkan kitab suci al-Quran sebagai penawar.
Bagaimanapun katanya, walaupun penawar sebenar telah pun disediakan untuk mengubati 'penyakit', namun segelintirnya masih tidak mahu mendapatkannya, sebaliknya lebih terpedaya dengan 'gula-gula' yang tidak mampu memberi kesembuhan.
"Si bapa membelanjakan ratusan, bahkan ribuan ringgit membeli ubat untuk anaknya yang sakit.
“Si anak enggan dan merengek mahukan gula-gula. Begitulah sebahagian manusia," katanya.
Nik Mohamad Abduh dalam pada itu turut memberi respons di ruangan komen bahawa muzik liar dan pergaulan bebas ialah hiburan berpenyakit serta berlawanan dengan kitab Allah.
“Hiburan berpenawar ialah ayat-ayat al-Quran dan majlis ilmu,” katanya.
Penganjur Live Nation Malaysia sebelum ini tidak menolak kemungkinan konsert Coldplay: Music Of The Spheres di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Kuala Lumpur pada 22 November nanti akan ditambah sehari ekoran permintaan masih tinggi.
Lebih 700,000 berusaha membeli tiket pada 17 Mei lalu yang kemudiannya terjual habis dalam tempoh tiga jam sahaja.
Kehangatan penganjuran konsert selebriti antarabangsa itu mengundang segelintir pihak mengambil kesempatan menjual semula tiket sehingga RM43,000 berbanding harga asal RM228 hingga RM3,088. - Sinar Harian