"Niat saya cuma bantu peniaga kecil" - Siti Nurhaliza

Hilmi Malik
Disember 16, 2020 22:00 MYT
Kediaman Siti Nurhaliza tidak lengang dengan kiriman hantaran makanan yang dihantar peminat mahupun kenalannya. - Instagram/@ctdk
KUALA LUMPUR: Golongan peniaga antara pihak yang menerima tamparan hebat ketika dunia berdepan penularan COVID-19 yang secara tidak langsung memberi kesan terhadap punca pendapatan mereka.
Bagaimanapun, penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menggunakan inisiatif menerusi platform media sosialnya bagi membantu golongan peniaga khususnya dari Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Menurut Siti Nurhaliza yang menawarkan promosi secara percuma menerusi laman sosial Instagramnya itu, perkara itu secara tidak langsung memberikan pendedahan kepada peniaga yang terkesan ketika pandemik.
“Apabila saya buat 'review' makanan percuma di laman Instagram saya, niat saya untuk membantu peniaga-peniaga kecil khususnya yang membuat perniagaan makanan.
“Dalam kehidupan mereka mungkin ada yang terkesan dibuang kerja, ada yang tidak boleh meneruskan pekerjaan dengan kekangan dan sebagainya... jadi saya bantu ikhlas daripada hati untuk semua peniaga-peniaga ini,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Rabu.
Sebelum ini, kediaman Siti Nurhaliza tidak lengang dengan kiriman hantaran makanan yang dihantar peminat mahupun kenalannya.
Namun begitu, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, Siti Nurhaliza meluangkan masanya dalam membantu mempromosikan kesemua kiriman tersebut termasuk pelbagai juadah serta pelbagai bentuk barangan.
Dalam pada itu, mengulas berhubung karier seninya, Siti Nurhaliza berpendirian dirinya berpegang kepada prinsip kesederhanaan sepanjang tempoh beliau bergelar sebagai anak seni.
“Saya dibesarkan dalam keadaan yang sederhana jadi ibu bapa saya selalu pesan apa jua kita punya kelakuan, perbuatan kita perlu bersederhana namun tidak sehingga orang memijak kepala kita.
“Kontroversi ini sebagai satu permainan dalam kehidupan sebagai anak seni, dunia hiburan di Malaysia tidak besar bebanding negara luar,” katanya lagi.
BACA: Siti Nurhaliza terharu disenarai sebagai selebriti berpengaruh Forbes
Baru-baru ini, artis anak kelahiran Pahang itu juga telah tersenarai dalam Forbes Asia sebagai antara 100 selebriti paling berpengaruh di media sosial peringkat Asia Pasifik yang diukur berdasarkan peranan beliau membantu masyarakat ketika pandemik COVID-19.
Siti Nurhaliza dalam reaksinya, hanya menyambut dengan penuh kesyukuran.
#peniaga #hiburan #Siti Nurhaliza #PKP #COVID-19 #Forbes #Forbes Asia #IKS #Industri Kecil dan Sederhana
;