Nia Ramadhani mohon maaf, mengaku ketagih dadah bukan contoh terpuji
Astro Awani
Julai 11, 2021 12:19 MYT
Julai 11, 2021 12:19 MYT
JAKARTA: Artis ternama Indonesia, Nia Ramadhani mengaku bersalah dan memohon maaf di atas kes penyalahgunaan dadah yang sedang dihadapinya bersama suami, Ardi Bakrie.
"Saya Nia Ramadhani Bakrie mengakui bahawa apa yang saya lakukan tidak menjadi contoh yang terpuji
"Sebagai manusia saya sedar seharusnya, saya memberikan contoh yang baik bagi anak-anak saya dan orang-orang di sekitar," katanya sambil menangis dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Jakarta seperti dilaporkan portal berita CNN Indonesia.
Dalam masa sama, Nia berharap seluruh kaum keluarga terutama anaknya akan membuka pintu kemaafan buatnya.
“Mohon izinkan saya dengan segala kerendahan hati untuk mengucapkan permintaan maaf sebesar-besarnya kepada seluruh pihak terkait," ujar Nia, 31.
Permohonan maaf itu, tegas artis yang mula menempa kemasyhuran menerusi drama bersiri Bawang Putih Bawang Merah itu ditujukan khusus buat semua yang selama ini mempercayainya.
Dalam masa sama, Nia berkata, sebagai warganegara yang bertanggungjawab, dia juga sedia mengikuti proses undang-undang yang sedang berjalan ketika ini.
Nia dan suaminya, Ardi yang juga akan kepada tokoh korporat dan ahli politik ternama, Aburizal Bakrie pada Rabu lalu ditahan polis selepas didakwa terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Semasa ditahan, polis turut menyita bahan bukti berupa dadah jenis syabu yang diakui pasangan itu milik mereka.
Nia dan Ardi yang memiliki tiga cahaya mata juga mengakui, mereka mula menghisap dadah sejak lima bulan lalu.
Sehubungan itu, kedua-dua mereka telah diarahkan menjalani proses rehabilitasi.
Sementara itu, bapa mertua Nia, Aburizal dalam kenyataan rasmi menegaskan, peristiwa tangkapan ke atas anak lelaki dan menantunya itu sebagai dugaan terbesar buat keluarganya.
Jurucakap Aburizal, Lalu Mara Satriawangsa berkata, ahli perniagaan itu menerima dugaan itu dengan sabar dan tabah selain menerima dengan penuh terbuka terhadap apa yang berlaku serta mengharapkan segala proses akan selesai dengan cepat.