NGO hak asasi haiwan minta BTS henti promosi 'ayam mati'
Agensi
Jun 2, 2021 17:55 MYT
Jun 2, 2021 17:55 MYT
PEOPLE for the Ethical Treatment of Animals (Peta) Asia mendakwa, bintang K-Pop, BTS menyokong kekejaman terhadap haiwan apabila bekerjasama dengan sebuah restoran jenama makanan segera dan mengeluarkan set hidangan BTS Meal yang turut merangkumi nugget ayam.
Organisasi itu berkongsi foto Instagram seorang wanita yang melakukan protes di luar restoran makanan segera itu di ibu negara, baru-baru ini.
Individu itu, yang mengaku dia peminat BTS, mengangkat placard yang berbunyi, "Peminat ini dikecewakan. BTS, berhenti mempromosikan ayam mati! "
Peta Asia juga tidak lupa meletakkan tag akaun Instagram rasmi kumpulan yang popular dengan lagu Dynamite itu pada foto tersebut.
Dalam kapsyennya, Peta mendesak BTS agar tidak "mengecewakan peminat mereka" dan mencari jalan untuk menghentikan kerjasama dengan jenama berkenaan.
"BTS Meal merangkumi nugget yang dihasilkan daripada daging ayam yang diseksa.
"Penggemar BTS yang penuh belas kasihan mengingatkan mereka bahawa ayam adalah makhluk hidup yang ada perasaan," tulis Peta Asia.
Organisasi yang berpusat di Hong Kong itu juga mendakwa bahawa ayam yang dijadikan hidangan hidup dalam "keadaan yang menyedihkan" dan "mati dengan kematian yang menyakitkan."
Mereka mengakhiri posting itu dengan permohonan agar orang ramai mengamalkan diet sayur-sayuran.
Hantaran itu menerima reaksi negatif daripada peminat BTS, yang dikenali sebagai Army, memenuhi ruangan komen untuk mempertahankan idola mereka.
Mereka menegaskan tidak adil bagi Peta Asia untuk mengheret nama BTS ke dalam isu berkenaan kerana anggota kumpulan itu bukan pengamal diet sayuran (vegetarian).
Bahkan, mereka juga melihat isu yang dibangkitkan Peta sebagai tidak relevan memandangkan jenama makanan segera itu sememangnya menjual produk ayam sejak dahulu lagi.