NGO Dayak gesa SKMM siasat video Ryzal Duriankimchi hina pakaian tradisi Iban

Astro Awani
Mei 27, 2021 15:37 MYT
Joseph juga menuntut agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menjalankan siasatan dan mengenakan tindakan terhadapnya.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa menjalankan siasatan ke atas pemilik akaun Facebook DurianKimchi dan Instagram ryzalibrahim atau Nik Muhammad Ryzal Ibrahim yang menghina serta mempersendakan pakaian tradisi kaum Iban, Ngepan Iban.
Presiden TRADA, Joseph Ninting Janting berkata, tindakan setimpal perlu diambil ke atas Ryzal Ibrahim memandangkan kenyataannya itu mampu mengganggu gugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
“Ini bukan kali pertama artis tempatan, influencer, menghina masyarakat Dayak secara terang-terangan di media sosial dengan sesuka hati mengatakan masyarakat Dayak khususnya bangsa Iban masih tinggal di atas pokok.
“Jika hal ini tidak dibendung dan tiada tindakan dikenakan kepada individu terlibat, masyarakat akan menganggap bahawa gurauan seperti itu adalah satu kebiasaan seterusnya mampu mengugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
"Dia perlu membuat permohonan maaf secara terbuka,’’ katanya dalam kenyatan pada Khamis.
Tambah kenyataan itu, permohonan maaf oleh Ryzal di media sosial ia juga langsung tidak menunjukkan kekesalan dengan apa yang berlaku.
"Dia langsung tidak menunjukkan kekesalan dengan apa yang berlaku dan nampaknya dia tidak tahu langsung tentang budaya masyarakat majmuk yang ada di Malaysia.
''Yang dia lebih risaukan ialah kehilangan follower dan perniagaannya," tambahnya.
Selain itu, video yang berdurasi hampir satu minit itu turut mengundang kecaman netizen terutama di laman Twitter.
Bagi seorang pengguna lama Twitter, @zizie_lia, menyifatkan permohonan maaf yang dibuat Ryzal tidak mudah untuk diterima.
“Tidak semudah itu kau lafazkan kata maaf,” katanya.
Sementara bagi pengguna @juenzkica, adalah penting untuk hormat-menghormati budaya masyarakat lain walaupun apa jua status anda.
“Tolong respect culture orang, kalau nak famous pun make sure kau tahu asal usul culture orang baru kau buka mulut.
‘’Bukan nak backup Sarawak sebab aku Sabah, cuma kami saling hormat culture antara satu sama lain,” ujarnya.
Manakala bagi @Hurifaraaira, dia memuji budi bahasa yang tinggi dipamerkan isteri Ryzal yang lebih menghormati budaya tradisi itu.
The fact that Maryam pandai hormat our culture than her husband himself who is Malaysian. I stan kimchi only not durian,” ujarnya.
Menerusi rakaman di Instastorynya pada Rabu, Ryzal mempersendakan busana tradisi tersebut dengan melabelkan beberapa bahagian utama persalinan itu sebagai kain meja, alas TV, kain buruk dan banyak lagi.
Ketika kejadian, isterinya seorang wanita warga Korea Selatan, Maryam You Narae, sedang mengenakan busana tradisi itu ketika ditatarias.
#Ryzal Duriankimchi #Masyarakat Iban #Ngepan Iban #Ngepan Indu Iban #influencer dikecam #Maryam You Narae #gawai #Dayak #Masyarakat Dayak #Baju tradisional Iban #Pertubuhan Transformasi Dayak #SKMM siasat
;