Netizen puji cara Dr Sheikh Muszaphar pujuk isteri untuk tambah anak, tapi...
Gempak
Mac 20, 2022 14:22 MYT
Mac 20, 2022 14:22 MYT
BARU-BARU ini, personaliti media sosial Dr Sheikh Muszaphar memuat naik satu perkongsian yang sangat manis di Instagram.
Menerusi kapsyen yang ditulis pada sekeping gambarnya bersama keluarga, Muszaphar berkata, dia begitu menyukai keluarga yang besar.
“Saya suka dengan sebuah keluarga yang besar dan secara semula jadinya, saya mahukan lebih… insya-Allah dengan keizinan Mu.
“Tapi pertama sekali, saya mesti meyakinkan Dr Halina (isterinya). Apa pun, ia badan milik isteri saya,” katanya.
Dalam pada itu, Muszaphar turut berkongsi tips kepada bapa di luar sana yang ingin meyakinkan isteri yang masih ragu-ragu untuk melahirkan lebih zuriat.
“Saya akan uruskan segalanya sementara kamu (isteri) berehat. Kamu masih cantik seperti selalu dengan enam orang anak. Tidakkah kamu mahu lihat lebih ramai anak-anak yang indah? Mereka akan jaga kita pada hari tua nanti.
“Kita tidak akan sunyi. ‘Huru-hara’ buat kita jadi muda. Ia merupakan satu sunnah untuk meramaikan ummah. Jom pergi shopping dan beli apa yang kamu mahu. The more the merrier.
“Kita menua sehingga ke Syurga. Saya cintakan kamu selamanya walau apa pun keputusannya,” tulisnya.
Bingkisan Muszaphar itu mendapat respons yang sangat positif dalam kalangan pengikutnya di Instagram.
Seorang netizen menulis: “Betul, the more the merrier terutama pada Hari Raya,” tulisnya.
Sementara itu, menerusi laman Twitter pula, pengguna media sosial turut memuji perkongsian yang dimuat naik di Instagramnya itu, cuma ia perlulah sejajar dengan realiti kehidupan.
“Dr Sheikh Muszaphar tu adalah contoh suami yang bijak, kaya dan mampu. Ada juga suami dekat Malaysia ni bijak, tapi tak kaya dan tak mampu. Tak jadi jugak.
“Setiap orang kemampuan berbeza. Terpulang kepada individu,” katanya.
Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Halina mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2010. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Sophea Isabella, 11, Sophea Natasha, 9, anak kembar lelaki iaitu Sheikh Adam dan Sheikh Noah, 3 serta kembar kedua Sheikh Eusoff dan Sophea Emilia, 2.