Netizen minta Hafiz Hamidun, Joy Revfa henti 'londeh kain' di laman sosial
Madiha Abdullah
Oktober 11, 2017 12:44 MYT
Oktober 11, 2017 12:44 MYT
ISU pernikahan Hafiz Hamidun dan Siti Arifah Amin kembali diperkatakan selepas mahkamah mengesahkan lafaz cerai bekas suami Siti Arifah pada 12 Januari 2015.
Media semalam melaporkan Siti Arifah atau Joy Revfa menyatakan tidak akan meneruskan perkahwinannya dengan Hafiz yang dianggapnya gagal memainkan peranan sebagai suami.
Hafiz pula, dalam satu kemas kini status di Twitter, menafikan dakwaan Joy, malah turut mempersoalkan bagaimana lafaz cerai berkenaan boleh disahkan mahkamah.
Di laman sosial, peminat memberikan reaksi yang pelbagai. Kaum wanita khususnya, tumpang gembira apabila Joy terbukti di pihak yang benar.
Namun majoriti peminat dan pemerhati dunia seni nampaknya sudah bosan dengan gelagat kedua-dua mereka yang memilih untuk memperkatakan hal peribadi secara terbuka.
Kata peminat, banyak cara yang boleh digunakan pasangan itu untuk menyelesaikan masalah, namun masing-masing nampak selesa memperkatakannya melalui medium media sosial.
Ujar mereka, biarpun peminat ada kalanya mahu mengambil tahu hal peribadi artis yang diminati, tetapi tidaklah sehingga ke tahap hal-hal dalam kelambu.
"Tak faham dengan anda berdua. Kenapa perlu dijadikan isu besar? Selesaikanlah secara matang, dua-dua pun dah dewasa," tulis seorang pengguna Twitter @nadeu_zack.
Hafiz sebelum ini memohon faraq nikah atas sebab meragui status perceraian Joy dengan bekas suaminya, dua tahun lalu.