Neng Yatimah semakin uzur sejak kematian Mustapha Maarof

Bernama
Mac 1, 2015 16:04 MYT
Bintang air mata berusia 91 tahun itu (kanan) turut mengalami masalah jantung dan kanser kolon. - Gambar Fail
Seniwati Neng Yatimah kini dikhabarkan semakin uzur sejak kematian menantunya seniman Datuk Mustapha Maarof akhir tahun lepas.
Bintang air mata berusia 91 tahun ini turut mengalami masalah jantung dan kanser kolon.
Beliau atau nama sebenarnya Buntat Ahmad kini dijaga cucu saudaranya Isa Sawi di Singapura.
Menurut cucunya Azlynna Mustapha, setelah disahkan menghidap kanser, neneknya telah beberapa kali menerima rawatan di hospital namun selepas itu beliau enggan meneruskan rawatan susulan.
"Nenek kata dia tak nak (rasa) sakit setelah diberi rawatan susulan. Dia ada beritahu untuk menghembuskan nafas terakhirnya di Singapura seperti Allahyarham suaminya Jasni Ahmad yang dikebumikan di Singapura," katanya kepada Bernama.
Menurut Azlynna, walaupun keluarganya telah beberapa kali meminta Mak Neng (panggilan dalam keluarganya) menetap di Malaysia, namun beliau menolak atas alasan ingin menghabiskan sisa hidupnya di Singapura.
"Mak Neng kini sudah berusia 91 tahun dan semakin uzur, keluarganya cuma mahukan dia menikmati hidupnya dengan baik," katanya.
Azlynna berkata ketika bapanya (Mustapha) meninggal dunia, Mak Neng amat tertekan sehingga menjejaskan kesihatannya.
"Setelah kematian anaknya Allahyarham Roseyatimah, hubungan Mak Neng dengan menantunya (Mustapha Maarof) amat rapat.
"Setiap kali bulan puasa, arwah akan mengirimkan duit ke Singapura untuk ibu mentuanya itu," katanya.
Roseyatimah meninggal pada tahun 1987.
Neng Yatimah merupakan pelakon hebat filem Melayu tahun 1950-an dan 1960-an yang terkenal menerusi filem seperti Air Mata Duyung, Jiran Sekampung, Laila Majnun, Seri Mersing, Racun Dunia dan Mama oh Mama.
#aktres #Buntat Ahmad #Jalan Ampas #Mustapha Maarof #Neng Yatimah
;