Nelydia Senrose kini bergelar isteri ahli perniagaan
Astro Awani
April 6, 2019 16:20 MYT
April 6, 2019 16:20 MYT
Pelakon popular tanah air, Nelydia Senrose, 24, kini bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid, 35, selepas pasangan berkenaan dinikahkan sekitar 3.30 petang Sabtu.
Pasangan mempelai itu dinikahkan bapa Nelydia, Nik Sen Mat Rifin dan disaksikan Imam Masjid Jamek Kampung Baru, Azizi Abd Hamid dalam satu majlis tertutup diadakan di sebuah hotel di ibu negara.
Nelydia yang berusia 24 tahun menerima mas kahwin berjumlah RM10,000 bersama sembilan dulang hantaran berbalas 11 daripada Mohd Hafez, 35.
Bagaimanapun, wang hantaran tidak dinyatakan.
Sebelum akad nikah berlangsung, pasangan berkenaan melangsungkan majlis pertunangan sebagai syarat sebelum meneruskan upacara pernikahan di depan lebih 200 orang tetamu dan kenalan terdekat.
Pada hari bahagianya itu, Nelydia mengenakan persalinan rona putih gading rekaan Ezuwan Ismail.
Menurut Nelydia atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nelydia Nik Sen, dia sangat bersyukur kerana segala perancangan untuk menamatkan zaman bujang berjalan lancer.
“Alhamdulillah impian, niat serta hajat yang saya harapkan selama ini dipermudahkan.
“Doa saya di Tanah Suci Mekah serta apa yang dihajati juga Allah makbulkan serta beri jawapan pasti termasuk hal jodoh. Semoga permulaan fasa ini akan terus mematangkan saya dan dia. Insya-Allah,” katanya.
Nelydia dan suaminya mula berkenalan pada 6 April 2017 sebagai kawan biasa sebelum cinta berputik.
Pada April 2018 Hafez terbang ke Amsterdam untuk memberi kejutan sekali gus melamar Nelydia.
Ketika itu pelakon yang juga adik kepada Uqasha Senrose ini sedang bercuti di Eropah.
“Selepas memutuskan untuk membawa hubungan kami ke fasa seterusnya, saya bawa dia berjumpa dengan papa untuk meminta restu selain keluarga yang lain.
“Memang asalnya rancangan perkahwinan ini nak dibuat tahun lalu. Tetapi ada saja kekangan. Di sebalik ujian dan halangan sebelum ini, saya dan suami berjaya melaluinya sebaik mungkin.
"Sekembali dari umrah 5 Januari lalu, saya dan dia putuskan untuk ke gerbang perkahwinan dan
memulakan persiapan,” katanya.
Nelydia juga bersyukur kerana kehadiran Hafez melengkapi dan menyenangkannya.
Pada Ahad pasangan ini akan diraikan daam satu majlis resepsi di hotel sama majlis pernikahan mereka.
Pasangan itu juga merancang untuk mengadakan majlis resepsi di kampung kelahiran pengantin perempuan di Kelantan pada musim raya depan.
#ahli perniagaan
#bernikah
#kahwin
#Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid
#Nelydia Senrose nikah
#pelakon
#perkahwinan