Neelofa umum undur diri dari Meletop selepas tujuh tahun

Astro Awani
Disember 3, 2019 07:11 MYT
Neelofa ambil keputusan itu kerana mahu fokus kepada perancangan lain dalam kerjayanya.
Pengacara program hiburan, Meletop, Neelofa mengumumkan mengundur diri selepas tujuh tahun mengendalikannya.
Keputusan itu diambil kerana mahu fokus kepada perancangan lain dalam kerjayanya.
"Perjalanan kerjaya saya bukan sekadar lakonan dan pengacaraan tetapi juga kecantikan dan fesyen, semua itu menambah warna dalam hidup saya.
"Di Astro juga tidak pernah ada program premium yang boleh meletakkan A-Listers untuk berborak tentang hal peribadi dan profesional, dan mereka memberi cabaran itu kepada saya untuk saya terokai," kata Neelofa berhubung perancangan lain yang dimaksudkan.
Pengumuman itu dibuat Neelofa secara langsung menerusi Meletop yang disiarkan pada Selasa.
"MeleTOP telah banyak mendidik saya dan kerjaya seni saya membesar bersama rancangan ini. Ia ibaratnya sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya,"
"Berat untuk saya tetapi saya perlu lepaskan untuk dapatkan sesuatu yang lain," katanya sebak.
Hari terakhir Neelofa bersama Meletop ialah pada 31 Disember depan.
Meletop mula disiarkan pada 30 Oktober 2012 dengan menggandingkan Neelofa dan Nabil Ahmad.
Ia sudah bersiaran sebanyak 370 episod.
#hiburan #kahwin #Meletop #Nabil Ahmad #Neelofa #Pengacara
;