Neelofa selamat bersalin, putera sulung diberi nama Muhammad Bilal

Astro Awani
Januari 31, 2022 11:24 MYT
Neelofa dan PU Riz menamakan putera sulung mereka Muhammad Bilal. -Foto Instagram @neelofa
PELAKON dan pengacara popular Neelofa selamat melahirkan cahaya mata sulung di sebuah hospital di ibu negara, pada jam 3.44 petang, Sabtu lalu.
Khabar gembira tersebut dikongsikan suaminya, Muhammad Haris Ismail atau lebih dikenali dengan gelaran PU Riz, menerusi satu kenyataan.
Menerusi kenyataan itu, PU Riz meluahkan kesyukuran kerana segala urusan menyambut cahaya mata pertama mereka dipermudahkan.
Malah, pasangan itu turut mendedahkan nama putera sulung mereka iaitu Muhammad Bilal Muhammad Haris.
“Assalamualaikum. Alhamdulillah, puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT untuk segala berkat dan rahmat-Nya.
“Isteri saya, Noor Neelofa Mohd Noor telah selamat melahirkan putera sulung kami, Muhammad Bilal Muhammad Haris pada 29 Januari 2022, pukul 3.44 petang.
“Syukur, Alhamdulillah, segala urusan dipermudahkan. Kini isteri saya sedang berehat dan kami sedang melalui satu fasa yang sangat menggembirakan untuk kami sekeluarga,” ujarnya menerusi kenyataan tersebut.
Dalam masa sama, pasangan itu turut menzahirkan penghargaan buat semua yang mendoakan mereka.
“Saya dan Neelofa ingin merakamkan jutaan penghargaan dan rasa penuh bersyukur atas doa yang dikirim oleh anda semua.
“Terima kasih atas ingatan kalian sejak kami mendirikan rumah tangga sehinggalah kami menimang cahaya mata. Sebagaimana kalian mendoakan kesejahteraan saya dan isteri tahun lalu.
“Mohon titipkan juga doa-doa yang baik agar zuriat yang berada di pangkuan kami ini mampu menjadi khalifah yang dapat memberikan kebaikan kepada agama dan negara,” ujarnya panjang.
Sementara itu, laman sosial Neelofa mula dibanjiri ribuan ucapan tahniah daripada para peminat yang mendoakan kesejahteraannya dan cahaya mata.
Berita mengenai kehamilan Neelofa hangat diperkatakan jejak Julai tahun lalu, namun bekas pengacara MeleTOP itu memilih untuk tidak berkongsi secara terbuka mengenai status kandungannya.
Neelofa dan Haris selamat bernikah di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 Mac tahun lalu.
#Neelofa #PU Riz #Putera sulung #Muhammad Bilal
;