Neelofa nafi pindah wang, belum ada sebarang ikatan dengan PU Riz

Astro Awani
Disember 27, 2020 20:47 MYT
Kata Neelofa, tiada siapa yang mahu berada dalam keadaan sebegini, lebih-lebih lagi dia dan PU Riz masih belum pun ada apa sebarang ikatan.
KUALA LUMPUR: Selain menafikan sudah melangsungkan pernikahan di Kelantan dan dinikahkan oleh bapanya, artis terkenal, Neelofa juga menyangkal tuduhan kononnya dia ada memindahkan sejumlah wang yang agak banyak kepada PU Riz.
Kata Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, dakwaan berkenaan adalah tidak benar sama sekali.
“Kononnya saya memindahkan sejumlah wang yang agak banyak kepada Haris, Saya menyangkal tuduhan tersebut dan perkara itu adalah tidak benar sama sekali,” kata Neelofa dalam kenyataan yang diedarkan sebentar tadi.
BACA: "Terkena minyak pengasih tuduhan berat" - Neelofa
BACA: Neelofa nafi sudah bernikah, keluarga bincang soal hubungan dengan PU Rizz
Sehubungan itu, usahawan tudung jenama Naelofar itu menggesa semua pihak agar tidak menerima sebarang andaian secara bulat-bulat.
“Andaian ini juga adalah satu tuduhan yang sangat tidak benar dan tidak berasas.
“Saya mohon kepada semua pihak untuk tidak terus menerima andaian berkenaan bulat-bulat dan mengambil masa sejenak untuk memahami ketidakwajaran tuduhan ini,” tegas Neelofa.
Dalam kenyataan itu, Neelofa juga memohon maaf kepada keluarga dia dan keluarga PU Riz terhadap apa yang telah berlaku.
“Saya pasti, tiada siapa yang mahu berada dalam keadaan sebegini, lebih-lebih lagi kami masih belum pun ada apa sebarang ikatan.
“Kepada keluarga saya, terima kasih yang tidak terhingga ingin saya ucapkan. Sokongan, kasih sayang yang ditunjukkan, teguran yang diberikan, saya hargai dengan setulus hati,” ujarnya.
Astro AWANI pada 1 November lalu melaporkan, Neelofa, 31, menerima kunjungan daripada keluarga PU Riz atau Muhammad Haris Mohd Ismail, 25, bagi menyempurnakan majlis merisik.
Pasangan berkenaan juga dilaporkan merancang untuk mendirikan rumah tangga pada Mac 2021.
BACA: Sah Neelofa dirisik PU Riz
Dalam masa sama, Neelofa memohon kerjasama daripada semua pihak untuk memahami dan memberikan saya ruang yang sewajarnya.
“Harap perkara ini tidak lagi akan berpanjangan. Terakhir, saya perlukan doa-doa anda buat saya. Terima kasih juga untuk segala sokongan yang diberikan. Saya sangat hargai,” katanya lagi.
BACA: "Neelofa, PU Rizz sedang harungi dugaan bertunang" - Sumber
#Neelofa #PU Riz #pindah wang #tuduhan #usahawan #selebriti
;