Nazir Tun Razak tetamu undangan OHI malam ini

Azyyati Ahmad
Jun 4, 2016 18:49 MYT
Program bual bicara Obviously Harith Iskander episod kedua akan disiarkan pada jam 9.30 malam ini (Sabtu) di saluran 501 Astro AWANI.
Pengerusi CIMB Group Holdings, Datuk Seri Nazir Tun Razak buat pertama kalinya muncul sebagai tetamu jemputan bagi rancangan bual bicara santai, Obviously Harith Iskander (OHI).
Episod kedua OHI yang dihoskan pelawak terkemuka negara itu turut menjemput penyanyi bersuara emas, Adibah Noor dan ahli silap mata dari Belgium, Aaron Crow.
Nazir berkata beliau sangat teruja apabila dijemput Harith dan percaya OHI bakal menjadi program pilihan rakyat Malaysia.
“Saya terhibur dan menyokong apa yang dilakukan Harith untuk program ini. Ia sesuatu yang baik.
“Saya fikir Malaysia sememangnya memerlukan rancangan yang bercakap mengenai perkara serius tetapi pada masa yang sama boleh bergelak ketawa,” katanya yang ditemui selepas rakaman OHI pada Sabtu.
Sementara itu Adibah Noor turut memuji OHI kerana berjaya menggabungkan selebriti dan ikon- ikon negara dalam menjadikan OHI lain daripada yang lain.
“Saya suka bila ia menggabungkan tokoh-tokoh negara dalam sesebuah rancangan yang sangat bersahaja yang mana rancangan ini akan membawa sisi berbeza tokoh itu yang belum pernah kita lihat,” kata Adibah.
Rata-rata penonton yang ditemui sangat terhibur dan mengakui jarang dapat melihat tokoh korporat seperti Nazir menjadi tetamu di program sedemikian.
Program bual bicara Obviously Harith Iskander episod kedua akan disiarkan pada jam 9.30 malam ini (Sabtu) di saluran 501 Astro AWANI.
#CIMB #Nazir Tun Razak #Obviously Harith Iskander #OHI
;