Nazim Othman, Bella Dally bincang enam jam sebelum failkan penceraian
Nursyazwani Saiful Sham
Mei 20, 2018 19:07 MYT
Mei 20, 2018 19:07 MYT
Pasti ada yang berteka teki mengapa pasangan sama cantik sama padan, Nazim Othman dan Bella Dally mengambil keputusan untuk berpisah.
Sehingga kini masih tidak diketahui punca sebenar berlakunya penceraian itu dari mulut kedua-dua pelakon popular ini.
Namun, menurut Nazim, dia dan Bella telah berbincang selama enam jam sebelum mengambil keputusan untuk berpisah.
Dalam satu posting di Instagram Nazim, dia berkongsi gambar bersama bekas isterinya satu hari sebelum memfailkan kes penceraian mereka di Kota Kinabalu.
“Segala gelak tawa, segala tangisan dan segala sebab, setiap perincian akan kami sematkan diantara kami berdua.
“Kuncinya adalah redha. Kami telah bersetuju untuk menerima takdir ini dengan hati terbuka dan bersetuju untuk mensensasikan cerita perpisahan ini,” katanya.
Tambah Nazim, perpisahan itu sememangnya menyedihkan dan sesungguhnya, Allah sememangnya sebaik-baik perancang.
“Jadi kepada anda semua teruskan hidup dengan tenang dan positif. Semoga Allah sentiasa mengasihani kita,” tulisnya.
Walau bagaimanapun, posting itu telah dipadam dari Instagram Nazim.
Terdahulu, dalam kemas kini di akaun Instagram Nazim pada Khamis lalu, dia mengesahkan perkahwinannya dengan Bella Dally sudah berakhir.
Nazim, 34 tahun dan Bella, 26 tahun mendirikan rumah tangga pada September 2016 dan tidak dikurniakan cahaya mata.