Natasha Hudson bercerai kali keempat

Astro Awani
Oktober 8, 2019 12:00 MYT
Menurut Natasha, rumah tangga yang dibina Disember tahun lalu itu dipenuhi dengan penipuan dan permainan mental.
PELAKON jelita, Natasha Hudson kembali menjanda selepas perkahwinan keempatnya dengan Noor Nashriq Sekanor musnah.
Menurut Natasha, perkahwinan yang berlangsung pada Disember lalu hanyalah indah khabar dari rupa.
Sekalipun enggan mendedahkan punca perceraian, Natasha, 37, berkata, rumah tangga yang dibina Disember tahun lalu itu dipenuhi dengan penipuan dan permainan mental.
"Ya, saya sudah bercerai dengan talak satu dan sepanjang melalui perkahwinan ini dipenuhi dengan penipuan dan permainan mental.
"Jadi, saya tinggalkan dia. Ia memerlukan keberanian untuk saya lakukannya. Saya perlu menyelamatkan diri daripada kesengsaraan dan pengorbanan.
"Mungkin saya jenis tak nak cerita semua kisah silam atau sedih mengenai perkahwinan saya secara umum tapi ini adalah pengalaman yang paling teruk," kata Natasha kepada portal berita mStar pada Selasa.
Portal berkenaan juga melaporkan, Natasha tidak menyatakan tarikh tepat penceraian dia dan bekas suami selain menganggap kemusnahan rumah tangganya itu adalah ketentuan Ilahi.
Perceraian terbaharu ini, jelas Natasha, memberi peluang kepadanya untuk membahagiakan diri sendiri selain fokus pada kehidupan masa hadapan.
"Ini adalah titik permulaan baru untuk saya sayang diri sendiri yang sebelum ini tak pernah lakukan. Saya selalu gembirakan orang, sekarang saya ingin fokus pada diri dan pandang ke hadapan.
Sekarang ini, saya nak gembira. Zaman kanak-kanak saya sudah dipenuhi dengan banyak parut luka tapi Allah sekali lagi menguji saya untuk jadi lebih kuat, bijak dan sedar setiap tindakan serta keputusan saya dalam hidup," ujar Natasha lagi.
BACA JUGA: 'Saya sudah bergelar solo' - Natasha Hudson bercerai kali ketiga
Natasha dan Noor Nashriq bernikah pada 7 Disember lalu.
Sebelum itu Natasha atau Natasha Liana Hudson menikahi Carleed Khaza atau Khalid Kamal pada 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan.
Perkahwinan pertama Natasha ialah pada 2006 dengan Mohd. Faiz Mohd. Raih yang hanya bertahan selama empat bulan.
Selepas bercerai dengan Mohd Faiz, aktres popular itu berkahwin dengan Datuk Shahrin Zahari pada Julai 2007.
Menerusi perkahwinan yang hanya bertahan selama dua tahun itu, pasangan berkenaan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.
#bercerai #kali keempat #Natasha Hudson #Noor Nashriq Sekanor #pelakon
;