Nas-T terpilih terajui Keluang Man

Madiha Abdullah
November 28, 2023 06:45 MYT
Nas-T dipilih daripada lebih 300 calon atas faktor kemampuannya menterjemah penjiwaan seperti yang dikehendaki watak berkenaan. - Gambar Astro SHAW
KUALA LUMPUR: Pelakon aksi, Nas Muammar Zar atau dikenali sebagai Nas-T terpilih untuk memegang peranan superhero ikonik Malaysia, Keluang Man.
Pengarah filem Keluang Man, Anwari Ashraf berkata, Nas-T dipilih daripada lebih 300 calon atas faktor kemampuannya menterjemah penjiwaan seperti yang dikehendaki watak berkenaan.
"Semasa peringkat akhir pemilihan semua calon akhir ada session one on one dengan saya, kita cuba babak dan dalam masa sama saya cuba beritahu mereka jenis lakonan yang saya mahukan untuk watak Borhan (Keluang Man).
"Dengan Nas, langsung tak ambil masa lama. Di situ saya tahu, saya tak ada pilihan lain selain saya kena ambil Nas (sebagai Keluang Man)," katanya.
Tambah Anwari, biarpun ramai yang mencadangkan agar premis filem itu dihasilkan menggunakan teknik penceritaan yang lebih gelap dan matang, namun beliau memilih untuk menghormati penceritaan asal oleh penciptanya, Allahyarham Kamn Ismail.
"Bukan bermaksud filem ini tidak matang tetapi saya percaya dengan tone yang dibawa oleh pencipta Keluang Man.
"Saya juga yakin dengan skrip kita dalam membina jalan cerita yang masih membawa tone asal, tetapi dikontemporarikan mengikut kesesuaian masa kini," ujarnya.
Sementara itu, Nas-T menyifatkan proses pemilihan yang dilalui adalah antara yang paling sukar, namun teruja apabila terpilih memegang watak tersebut.
"Ia satu proses yang panjang, paling panjang sepanjang karier saya. Ada empat fasa, ramai pelakon yang hebat cuba nasib jadi saya rasa kerdil.
"Sampai sekarang masih tak percaya saya dipilih, terima kasih atas kepercayaan," katanya.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Keluang Man merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya berbesar hati membawakan naskhah berkenaan ke pawagam kerana ia dikenali sebagai karya dengan jenama dan kumpulan peminat yang besar.
"Jenamanya bukan saja popular dan kelompok peminat besar tetapi menjadi pop-culture phenomenon dan mengubah landskap industri animasi tempatan.
"Mereka yang membesar di era 90-an pastinya tahu Keluang Man adalah sebahagian daripada zaman kanak-kanak. Selepas 25 tahun, ia masih dicari, di Tiktok tanda pagarnya mencecah 20 juta tontonan, di YouTube lebih 8 juta.
"Ini menandakan Keluang Man mempunyai impak berpanjangan kepada rakyat Malaysia," katanya.
Majlis pengumuman pelancaran filem dan pengumuman pelakon berlangsung di ibu negara, pada Selasa.
Turut diumumkan pada majlis itu ialah Remy Ishak yang membawakan watak Shamsir, Anwaar Beg Moghal sebagai Inspektor Sahab dan Datuk Rosyam Nor sebagai Ahmad.
Keluang Man memaparkan kisah seorang pesakit psikiatri, Borhan, yang menjadi adiwira bertopeng dalam membenteras jenayah.
Mula diperkenalkan pada era 90-an, Keluang Manberjaya mencipta fenomena tersendiri, selain dikenali sebagai antara animasi terawal karya anak tempatan.
Filem itu kini sedang menjalani proses pra-produksi dan dijangka memulakan penggambaran April tahun hadapan.
Ia dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 2025.
#Keluang Man #filem #nas-t #animasi
;