'Nama tengah naik' - Rozie Othman akui kecewa Syasya keluar Dolla untuk berkahwin
Gempak
Mei 6, 2024 14:20 MYT
Mei 6, 2024 14:20 MYT
NENEK kepada bekas anggota kumpulan Dolla, Syasya Rizal iaitu pelakon Rozie Othman memaklumkan cucunya bakal berangkat ke luar negara bersama suaminya untuk menyambung pelajaran pada Jun nanti.
Bercakap kepada Melodi, kata Rozie, Syasya kini masih berada di Malaysia dan akan mengotakan janji mengikut suaminya untuk ke luar negara.
"Saya mewakili Syasya, memang pada asalnya dia tak nak keluar Dolla tapi apabila berkahwin suaminya nak sambung belajar di luar negara.
"Dah dalam perjanjian, apabila berkahwin, dia akan ikut suaminya.
"Sebab itulah, suaminya nak sambung belajar dan dia pun boleh sambung belajar sekali. Jadi, dia keluar daripada Dolla.
"Buat masa ini belum lagi (ke luar negara), mungkin selepas raya Aidiladha mereka akan berangkat ke luar negara untuk sambung belajar. Kita doa yang baik-baik," katanya.
Dalam pada itu, Rozie yang juga seorang pelakon mengakui dia agak terkilan dengan keputusan Syasya untuk 'menamatkan' kariernya bersama Dolla ketika nama mereka di puncak.
"Syasya, mami ucapkan selamat pengantin baru walaupun mami kecewa sebab nama you tengah naik dan you buat keputusan untuk berkahwin.
"Mami dan keluarga berlapang dada walau apa jua keputusan. Mana tahu one day you will come back, mami doakan you.
"Masa kejadian dia nak nikah tu, masa tu saya sebulan di Tanah Suci sempena Ramadan.
"Saya doa, kalau Syasya nak terus mencipta nama saya doakan dia tukar penampilan, tak nak seksi biarlah nampak kewanitaan.
"Allah kabulkan, sekarang dia sudah berhijab, dia pun terpaksa keluar daripada syarikat pengurusan rakaman.
"Dulu masa dia belajar, dia pernah cakap nak jadi artis. Saya cakap boleh tapi kena jaga nama. Bukan senang.
"Alhamdulillah, dia sekarang sudah jadi artis antarabangsa, dia ada suara dan gaya untuk menyanyi tapi itulah bila dia buat keputusan untuk tarik diri, memang frustlah. Allah dah tentukan dia tidak menyanyi.
"Alhamdulillah, mami selalu doa biarlah penampilan dia tidak mencolok mata, daripada dulu lagi. Bila sering ditanya, saya tak ada komen.
"Mungkin Allah tarik satu benda, Allah bagi yang lain," tambahnya.
Terdahulu, Syasya mengejutkan ramai pihak apabila membuat keputusan untuk menarik diri keluar daripada Dolla.
Selang beberapa ketika, Syasya mengesahkan dirinya telah selamat mendirikan rumah tangga bersama jejaka pilihan. -Gempak