Nama dalam misi tepis stereotaip wanita berhijab melalui Asia's Got Talent

Siti Hajar Jamaludin
Mac 30, 2019 12:50 MYT
NAMA: Kami mahu orang di luar sana terutamanya masyarakat antarabangsa melihat yang wanita berhijab ini juga punya impian dan bakat tersendiri dalam bidang nyanyian. -Astro AWANI
WANITA berhijab dalam bidang nyanyian sangat dominan di Malaysia serta Indonesia, tetapi bukan di negara Asia yang lain, terutamanya di pentas antarabangsa.
Kumpulan gadis berhijab, Nama memilih Asia’s Got Talent (AGT) sebagai platform untuk mereka memperkenalkan diri mereka serta mengubah persepsi masyarakat dunia terhadap wanita berhijab.
“Kami mahu orang di luar sana terutamanya masyarakat antarabangsa melihat yang wanita berhijab ini juga punya impian dan bakat tersendiri dalam bidang nyanyian.
“Selain itu, kami berharap orang di luar sana terutamanya masyarakat antarabangsa yang tidak biasa melihat wanita berhijab menceburi bidang nyanyian ini mengubah pandangan stereotaip serta persepsi ini.
“Ini kerana, semua wanita itu sama sahaja. Berhijab atau tidak, tiada bezanya, kerana setiap orang itu mempunyai bakat mereka tersendiri yang ingin ditonjolkan,” ujar Nur Fazrina Mohd Ani, salah seorang anggota Nama, ketika ditemu bual semasa menghadiri Festival Seni Universiti Malaya pada Jumaat.
Tambahnya, bukan mudah untuk mereka mengekalkan imej kesantunan sebagai wanita berhijab tetapi dengan pemilihan pakaian dan lagu yang bersesuaian sangat dititikberatkan.
“Sebagai seorang penghibur, bukan mudah untuk kami menari dan menyanyi dalam satu masa serta mengekalkan imej ini, tetapi itu adalah satu cabaran buat kami,” ujar Noor Syamimi Makhetar pula.
“Nama juga menitikberatkan pemilihan tudung dan pakaian yang sopan, semestinya tidak berlebihan, serta pemilihan lagu yang bersesuaian dengan imej kami, tetapi masih menonjolkan kehebatan vokal kami,” tambah Norfazira Malik.
Tertubuhnya kumpulan itu bermula daripada Festival Seni Universiti Malaya, di mana mereka berentap sesama sendiri untuk bergelar juara dalam pertandingan tersebut sebelum disatukan.
Nama akan berentap di pentas akhir Asia’s Got Talent musim ketiga pada 4 April ini, sementara keputusannya bakal diketahui pada 11 April.
Pusingan akhir dan keputusan pusingan akhir Asia’s Got Talent musim ketiga bersiaran di saluran AXN HD (Astro 721) dan AXN (Astro 701) bermula jam 8.30 malam.
#AGT #Asia's Got Talent #Festival Seni Universiti Malaya #Musim ketiga #nama #Nama masuk pusingan akhir #Nur Farzina #wanita berhijab
;