Nak kecam kecamlah! Tapi saya tak akan buka tudung - Neelofa
Gempak
September 28, 2017 18:09 MYT
September 28, 2017 18:09 MYT
PELAKON dan pengacara televisyen Neelofa menegaskan dia tidak akan sesekali membuka tudung walaupun dilantik menjadi duta jenama antarabangsa dan dikecam netizen.
Katanya, hijab telah membawa dia menjadi dirinya sekarang dan kejayaan yang diraih hari ini bermula daripada niatnya untuk bertudung sejak tiga tahun lalu.
"Saya tidak terfikir dan tidak akan sesekali membuka tudung walau sesaat. Hijab ini membawa siapa saya sekarang.
"Ketika di New York untuk MiSK-UNPD Youth Forum baru-baru ini, saya menjadi salah seorang speaker wanita muda bertudung dari negara yang asing bagi mereka dan alhamdulillah imej ini yang membuka mata mereka.
"Saya juga pernah bertanya kenapa Swarovski mahukan saya, jawab mereka saya mewakili wanita muslim dalam usaha meluaskan promosi mereka kepada individu berbeza-beza.
"Kemudian, di Boston pula nanti saya diminta menjadi speaker untuk bercakap mengenai jenama tudung saya. Jadi, ini bukti betapa besarnya kuasa sehelai hijab," katanya pada majlis perlantikan Neelofa sebagai duta Lancome Malaysia di Eco Sanctuary, Banting, Selangor hari ini.
Neelofa juga sebelum ini dikecam kerana memakai seluar jeans yang didakwa menampakkan bahagian lututnya ketika bercuti di luar negara bersama keluarganya.
Malah, ketika pelakon drama Suri Hati Mr Pilot itu berada di Milan, Itali, dia sekali lagi menerima kritikan netizen apabila memakai tudung yang menampakkan sebahagian kecil anak rambutnya.
Mengulas mengenai perkara itu kata Neelofa dia berharap agar netizen lebih terbuka dalam menilai fesyen yang dipakainya.
"Ini bukan pertama kali saya memakai seluar jeans koyak dan menyarung inner nude di dalam. Ketika mengacarakan Meletop pun saya pernah beberapa kali mengenakan gaya sama.
"Kemudian, ketika saya di Milan untuk Milan Fashion Week pun, tiada seseiapa yang stereotaip terhadap penampilan saya.
"Orang mungkin tak pernah melihat fesyen terkini dan saya memberi mereka peluang. Satu hari nanti mereka akan tahu," ujarnya.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @neelofa