Najib, Rosmah bakal tampil dalam 'Dirty Money' terbitan Netflix

Najmi Syahiran Mamat
Februari 28, 2020 08:04 MYT
Menerusi video trailer itu, ia memperlihatkan secara ringkas Najib sedang ditemu ramah. - Gambar Fail
Satu siri dokumentari siasatan jenayah terbitan Netflix bakal menampilkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Dirty Money akan mengetengahkan isu-isu berhubung kes perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu rakaman perbualan audio dilihat muncul menerusi video promosi trailer di akaun rasmi Youtube Netflix.
BACA: Rakaman Audio: Najib dan Rosmah tiba di Akademi SPRM untuk dirakam keterangan
Menerusi video trailer itu, ia memperlihatkan secara ringkas Najib sedang ditemu ramah.
“Ini semua tentang politik,” kata Najib menerusi video berdurasi kurang dua minit itu.
“Macam mana seorang isteri kepada ahli politik boleh memiliki kemewahan seperti ini,” kata seorang penemuramah sambil menunjukkan foto barang kemas.
Terdahulu, Najib berdepan dengan tujuh pertuduhan; tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC.
BACA: Najib terkejut RM42 juta masuk akaun peribadinya
Manakala Rosmah didakwa menerima rasuah melibatkan projek hibrid solar untuk sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion.
BACA: Projek hibrid solar: Rosmah mengaku tidak bersalah terima rasuah RM1.5 juta
Dirty Money merupakan sebuah dokumentari memperincikan enam cerita yang belum pernah dibongkarkan termasuk dakwaan isu skandal, penggubahan wang haram dan rasuah dalam dunia perniagaan.
Dokumentari musim kedua itu bakal disiarkan pada 11 Mac ini.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Dirty Money #jenayah #Najib Razak #Netflix #politik #Rasuah #Rosmah Mansor #SPRM