Nadin Amizah teruja mahu bertemu peminat di Malaysia
Asyraf Roslan
Januari 3, 2023 05:00 MYT
Januari 3, 2023 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Mendengar alunan muzik dan bait-bait lirik yang dinyanyikan oleh Nadin Amizah di corong radio mahupun platform penstriman sudah cukup untuk buat anda jatuh cinta.
Apa lagi jika dapat bertentang mata dan mendengar penyanyi yang popular dengan lagu Sorai menyanyikan lagu-lagu hitnya secara langsung, ia ibarat mimpi menjadi realiti.
Impian peminat untuk mendengar lagu Menangis di Jalan Pulang mahupun Paman Tua akan menjadi kenyataan apabila penyanyi berusia 22 tahun asal Bandung ini akan berkunjung ke Malaysia untuk Konsert Selamat Ulang Tahun dan Kisah Lainnya oleh Nadin Amizah.
Menurut pelantun lagu Bertaut, beliau sudah tidak sabar untuk terbang ke Kuala Lumpur bagi berjumpa dengan semua peminatnya di Malaysia.
“Saya tidak sabar untuk datang ke Malaysia buat pertama kali dan dapat berjumpa dengan semua peminat,
“Saya akan bawakan sebahagian dari konsep ‘Selamat Ulang Tahun’ tapi istimewanya untuk teman-teman di Malaysia, saya juga akan mempersembahkan lagu-lagu saya yang lain, pada masa sama saya harap konsert pertama saya di Malaysia akan menjadikan satu memori indah buat semua yang hadir pada malam itu.
“Semoga sesuatu yang kecil bisa menggerakkan hati yang besar,” kata Nadin.
Nadin Amizah akan menyampaikan 15 buah lagu antaranya ialah Menangis di Jalan Pulang, Hormat Kepada Angin, Paman Tua dan Sorak Sorai.
Mengambil sempena untaian hitnya, tiket berharga RM190 dijual di bawah judul Rumpang dan Taruh, RM230 (Bertaut), Sorai (RM250) dan RM600 untuk Star yang akan memberi keistimewaan kepada penggemar beramah mesra dengan Nadin.
Peminat boleh mendapatkan tiket di tapautix.tapau.asia.
Konsert Selamat Ulang Tahun dan Kisah Lainnya oleh Nadin Amizah akan berlangsung pada 21 Januari 2023 di Zepp Kuala Lumpur.