Nadiah Hamzah giat kumpul dana jadikan Jupiter satu realiti
Daily Seni
Julai 12, 2014 16:58 MYT
Julai 12, 2014 16:58 MYT
“Sebagai seorang pembikin filem, saya sentiasa dahagakan cabaran kerana ia menjadikan proses pembikinan filem sesuatu yang menyeronokan – untuk mencipta dan membina satu dunia yang boleh dipercayai, dalam waktu yang sama mampu membuatkan penonton merasainya.”
Nadiah Hamzah, pembikin filem lulusan Amerika Syarikat kini berusaha gigih bagi memastikan projek filem terbarunya, Jupiter mendapat dana yang diperlukan.
Awal minggu ini, pengarah lulusan Tisch School of the Arts, New York University bersama pasukannya mendedahkan sedutan eksklusif filem itu yang turut dibintangi pelakon Beto Kusyairy, Tiz Zaqyah dan Nadiya Nisaa’ dengan penampilan khas pelakon terkenal Sofia Jane.
Klik Jupiter untuk menonton trailer
Buat masa ini, pasukan produksi sedang giat merapati bakal pelabur bersama, penawar geran industri dan kemungkinan dana dari orang ramai, semata-mata untuk menjadikan filem Jupiter satu realiti.
Jika ditonton daripada trailer yang didedahkan, tidak sukar untuk memberikan sedikit bayangan kepada penonton tentang jalan cerita yang akan dipersembahkan. Kisah mengenai bagaimana dahsyatnya saat kecemasan yang dihadapi dunia berlatarkan Kuala Lumpur dalam satu sentuhan universal dari ilham Nadiah sendiri.
Dalam dunia pembikinan filem Melayu generasi baru untuk tontonan penonton Malaysia yang pelbagai, inilah bakat baru yang tidak wajar diperlekehkan.
Daily Seni sempat bertemu pembikin filem generasi baru ini untuk bercerita lanjut mengenai filem Jupiter dan bagaimana dia bersama pasukannya akan berdepan dengan pelbagai situasi yang mendatang.
DS : Apakah status filem Jupiter sekarang dan apakah yang anda perlukan untuk menjadikannya satu realiti?
NH : “Pada masa ini, penerbit bersama (Muhammad Bahir) dan saya baru sahaja selesai fasa pembangunan filem itu dengan bantuan daripada MdeC menerusi dana Mac 3. (http://www.mscmalaysia.my/mac3_fund). Kami sedang mencari pelabur yang berpotensi untuk membolehkan kita mendapat pembiayaan untuk meneruskan penerbitan. Yang paling penting adalah mereka yang sanggup meletakkan kepercayaan mereka pada visi kami ini serta percaya kepada keupayaan kami sebagai pembikin filem untuk merealitikan skrip filem ini.
DS : Bagaimana cerita ini bermula dan sejak bila ia mula dibangunkan?
NH : “Ia bermula dengan satu persoalan yang terlintas pada tahun 2011 bersama penerbit saya (pada satu ketika yang sangat mengecewakan sewaktu bekerja sepenuh masa). “Bagaimana jika pada satu hari matahari tiba-tiba hilang di Kuala Lumpur?” Sejak itu, skrip ini ditulis dan masih melalui beberapa perubahan. Kini kita berada dalam draf yang kelima dan masih banyak lagi perubahan. Lagipun, cerita adalah penting dan menulis adalah menulis semula.”
DS : Bergenre fiksyen sains dan apokaliptik, adakah anda berasa ia sesuatu yang dekat atau jauh daripada niche anda?
NH : “Ia sememangnya sesuatu yang baru bagi saya tetapi pada dasarnya Jupiter masih mengenai hubungan antara manusia – tema yang telah berkali-kali saya lakukan dalam filem pendek saya sebelum ini. Sejak beberapa tahun lalu, saya tertarik dengan filem fiksyen sains contohnya Another Earth, Never Let Me Go, Sound of My Voice, Melancholia dan sebagainya. Filem-filem itu tidak hanya memfokuskan kepada kapal angkasa, roket meletup atau makhluk asing menyerang Bumi, tetapi lebih kepada kerumitan dalam hubungan manusia.”
DS : Untuk penonton Malaysia yang sedang berkembang sekarang, apakah sebab utama pada filem ini yang membuatkan anda perlu menghasilkan filem ini? Kenapa cerita ini sangat bermakna buat anda, apa yang anda impikan untuk Jupiter?
NH : “Seorang penerbit filem yang terkenal pernah berkata, ‘Jalan cerita perlu cukup besar untuk layar perak!, yang bermakna jika anda mahu penonton memilih untuk menonton filem anda, mereka berhak diberikan pengalaman sinematik yang mengujakan – bukan hanya cerita tetapi juga nilai produksi secara keseluruhannya perlu memberi nilai tambah kepada setiap sen yang dikeluarkan. Itulah yang sedang kami sasarkan.”
“Pasaran filem sangat tidak menentu sekarang, kerana agak mudah untuk mengeluarkan sebuah filem di pawagam kini. Garis perbezaan antara filem yang dibuat untuk televisyen dan filem yang dibuat untuk sinema semakin kabur. Maka sebab itulah kita sentiasa mendapat produk yang tidak menepati standard untuk pawagam sekarang.”
“Kita hanya mahu menghasilkan Jupiter dengan cara terbaik yang kami mampu dengan menggunakan 100% tenaga pakar tempatan.”
----------------------------------------------------
* Tulisan ini pertama kali tersiar di http://www.dailyseni.com
* Daily Seni ialah portal hiburan bebas gosip.
* Ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.