Muzium lilin pertama Asia Tenggara akan dibuka di i-City
Hakim Rahman
Jun 20, 2013 16:58 MYT
Jun 20, 2013 16:58 MYT
Orang ramai berpeluang menyaksikan secara dekat ikon terkenal dunia apabila muzium lilin yang pertama di Asia Tenggara yang bakal dibuka di negara ini.
Red Carpet @ i-City bakal menampilkan 100 patung lilin ikon terkenal dalam pelbagai bidang termasuk sukan dan pemegang rekod dunia.
Berkeluasan 30,000 kaki persegi, Red Carpet @ i-City mempunyai reka bentuk seolah-olah pentas Oscar.
Menurut Pengarah i-Berhad, Monica Ong, pengunjung bakal merasai pengalaman berinteraksi dengan patung lilin berkenaan.
"Ia seakan-akan pentas anugerah Oscar dan mempunyai persekitaran yang sesuai dengan personaliti dipamerkan dan orang ramai dibenarkan untuk menghampiri personaliti kegemaran mereka.
"Orang ramai juga dibenarkan menyentuh dan bermain dengan ikon kegemaran mereka," katanya selepas memperkenalkan Red Carpet @ i-City kepada media.
Antara yang bakal dipamerkan adalah, raja pop, Michael Jackson, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei serta bintang Pop Korea, Psy.
Dibangunkan dengan kos RM25 juta ia juga merupakan salah satu produk pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.
i-City mensasarkan kehadiran 30,000 hingga 50,000 pengunjung dari dalam dan luar negara dalam tempoh sebulan bagi melihat tarikan terbaru itu.
Ia dijangka mula menerima pengunjung pada pertengahan Ogos ini.
Tiket dijualkan dengan harga RM40 bagi kanak-kanak, RM80 bagi dewasa dan RM160 untuk pakej keluarga.