'Mutiara Damansara' tidak cukup duit untuk datang ke Malaysia
Kohilah Sekaran
Jun 24, 2015 12:24 MYT
Jun 24, 2015 12:24 MYT
Nampaknya, nama kumpulan band metal dari Perancis, ‘Mutiara Damansara’ menjadi buah mulut orang ramai di Malaysia.
Menjadi terkenal secara mengejut di Malaysia hanya kerana nama mereka, "Mutiara Damansara", kumpulan indie itu berjaya menawan hati rakyat tempatan dengan pilihan nama kumpulan mereka.
Dianggotai oleh tiga pemuda, Charlize Ann Myers, Cyanure Nevermore dan Grumppy Woodcutter yang berasal dari Caen, Lower Normandy, kumpulan band ini dikatakan mula bertapak sejak tahun 2010.
Walaupun pilihan nama Inggeris menjadi kebiasaan untuk sesebuah band, memilih nama “Mutiara Damansara” sememangnya menarik perhatian golongan muda di Malaysia.
Menerusi laman Facebook rasmi mereka "Mutiara Damansara", dilihat beberapa rakyat tempatan berinteraksi bersama mereka menerusi laman rasmi tersebut.
Rata-rata mengajak kumpulan indie itu untuk terbang ke Malaysia bagi mengadakan persembahan di sini.
Gambar diperolehi dari Facebook Mutiara Damansara
Ada juga yang mengajak mereka mengadakan persembahan di Mutiara Damansara bagi menjadikan kunjungan dan persembahan mereka lebih istimewa.
Namun, menurut kumpulan band tersebut menerusi kenyataan dalam Facebook semalam, mereka buat masa ini tidak mempunyai dana kewangan yang mencukupi untuk membuat lawatan di Malaysia tetapi mereka akan meminta beberapa bantuan yang boleh bagi merealisasikan permintaan peminat metal di Malaysia.
Gambar diperolehi dari Facebook Mutiara Damansara
Mereka turut mencadangkan peminat untuk melancarkan kempen crowdfunding untuk membiayai konsert jelajah mereka ke Malaysia.
Difahamkan, kumpulan band metal ini hanya beroperasi secara kecil di Perancis dan masih belum mendapat perhatian ramai.
Setakat ini, Mutiara Damansara telah melancarkan dua EP ‘Annual Winter Depression’ dan ‘Pearls’ dan sebuah album penuh berjudul “Every Soul is a Shining Star”.
Gambar diperolehi dari Facebook Mutiara Damansara
Sebelum ini, sebuah portal tempatan melaporkan, nama Melayu itu diperoleh ketika ahli-ahli kumpulan tersebut membuat carian nama yang unik untuk nama kumpulan mereka dan “Mutiara Damansara” muncul sebagai pilihan.