Mustapha masih ingat memori bersama Roseyatimah hingga akhir hayatnya

Bernama
Disember 15, 2014 21:02 MYT
Mustapha pernah mewasiatkan kepada anak-anaknya agar beliau dikebumikan bersebelahan pusara isterinya, Allahyarhamah seniwati Roseyatimah. -Gambar fail
"Ayah sentiasa merindui arwah ibu, malah masih menceritakan kenangan bersamanya sebelum menghembuskan nafas terakhir," kata anak bongsu Allahyarham Datuk Mustapha Maarof.
Mohamad Rizaimuddin, 38, berkata ayahnya itu juga pernah mewasiatkan kepada anak-anaknya agar beliau dikebumikan bersebelahan pusara isterinya, Allahyarhamah seniwati Roseyatimah.
"Walaupun telah hampir 20 tahun pemergian ibu, arwah tidak pernah melupakan memori bersama isterinya sehingga ke nafas terakhirnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Amru Ibnu Al-Asr, Bandar Baru Sentul, tempat jenazah disembahyangkan di sini, hari ini.
Mustapha, 79, atau nama sebenarnya Mustapha Azahari Maarof meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini, pada pukul 8.40 pagi tadi.
Pelakon, pengarah filem dan penerbit TV yang pernah membintangi lebih 50 filem dan drama di Malaysia dan Singapura itu meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan selepas hampir dua minggu dirawat berikutan komplikasi paru-paru.
Seniman veteran itu yang dilahirkan pada 1 Jan 1935 di Tanjung Galau, Seri Menanti Negeri Sembilan, memulakan kerjaya seninya sejak 1953 dan antara filem-filem lain lakonan beliau ialah Sultan Mahmud Mangkat Di Julang, Yatim Mustapha, Seri Mersing dan Naga Tasik Chini.
Pada tahun 2010, Mustapha diumumkan penerima Anugerah Tokoh Perfileman yang diberikan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Allahyarham juga adalah antara individu yang terlibat dalam mewujudkan Finas.
Allahyarham adalah anak kepada peguam Melayu, Maarof Zakaria yang mengasaskan Bank Kebangsaan Melayu pada tahun 1947 dan nama Jalan Maarof di Bangsar dinamakan sempena bapa Allahyarham.
Selain Rizaimuddin, Mustapha meninggalkan seorang lagi anak iaitu Ezlyana, 46, hasil perkahwinannya bersama Roseyatimah pada tahun 1967.
Seorang lagi anak mereka iatu Mohammed Khairuddin meninggal dunia akibat denggi ketika berusia tiga tahun.
Sebelum Roseyatimah, Mustapha pernah memperisterikan Suraya Harun juga seorang seniwati dan dikurniakan seorang cahaya mata Suzlynna kini berusia 50 tahun, namun perkahwinan itu hanya bertahan selama tiga tahun sahaja.
Jenazah Mustapha dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang selepas solat Zohor, hari ini.
Sementara itu, penyanyi veteran, Datuk D.J. Dave ketika ditemui pemberita menyifatkan Mustapha sebagai seorang yang komited dan 'budiman'.
"Beliau tidak pernah mempergunakan popularitinya. Kami kehilangan seorang pelakon yang hebat, sekali sebagai seorang seniman sampai bila-bilapun seorang seniman," katanya.
Datuk Yusof Haslam pula menyifatkan beliau sebagai seorang yang serius dan tegas ketika di dalam bidang seniman, sehinggakan beliau mampu mengutip dana mencecah RM1 juta melalui Tabung Seniman yang diwujudkan.
"Bagaimanapun, arwah ketika di luar adalah seorang yang lembut dan baik hati, mudah didekati," katanya.
#Mustapha Maarof #paru-paru #Roseyatimah #Seniman
;