Musim terakhir 'Game of Thrones' bakal bersiaran April 2019
Agensi
November 14, 2018 13:29 MYT
November 14, 2018 13:29 MYT
Drama aksi fantasi yang mempunyai puluhan juta peminat di seluruh dunia, Game of Thrones akan mula menyiarkan musim kelapan dan terakhirnya pada April tahun hadapan.
Rangkaian HBO mengumumkan khabar yang dinanti-nanti itu seiring siaran trailer di atas talian pada Selasa.
Video tersebut memaparkan adegan dari musim-musim sebelum ini sewaktu perang dahsyat terjadi dalam usaha menguasai kerajaan Westeros. HBO bagaimanapun tidak mendedahkan tarikh yang khusus untuk tayangan perdana musim terakhirnya, yang akan menemui penonton dalam enam episod.
Game of Thrones, yang pernah memenangi beberapa anugerah Emmy, merupakan kandungan paling berharga bagi rangkaian tersebut dengan kira-kira 30 juta penonton di Amerika Syarikat dan berjuta-juta lagi penggemar di seluruh dunia.
Drama siri itu berdasarkan novel George R.R. Martin, yang berjudul A Song of Ice and Fire.
Sekarang ini, pihak pengeluar dan rangkaian penyiar membelanjakan kos yang tinggi untuk menjalankan promosi fizikal dan juga di media sosial.
HBO juga sedang dalam proses mencari pengarah dan pelakon bagi musim prekuel, yang akan memulakan penggambaran pada tahun depan.
Rangkaian penyiaran itu mengumumkan pada Jun lalu bahawa pihaknya sudah memesan episod permulaan dan akan meneruskan penggambaran siri penuh jika semuanya lancar.
Prekuel yang masih belum mempunyai judul itu akan mengambil latar belakang susur masa ribuan tahun sebelum bermulanya Game of Thrones.