Munafik 2 bawa mesej berbeza, mampu menginsafkan

Yuzir Harafi
Ogos 30, 2018 07:30 MYT
Mesej yang ingin disampaikan melalui filem ini agak berat tetapi jalan ceritanya boleh difahami kerana ia diceritakan dengan sangat baik, disulam plot dan elemen agama yang padu. Twitter @SyamsulYusof84
SYAMSUL Yusof yang mula menempa nama sebagai pengarah dan penulis skrip melalui filem ‘Evolusi KL Drift pada tahun 2008, Pemenang Pengarah Terbaik Asia Pasifik ke-57 itu terus cemerlang dengan filem terbaru arahan beliau bagi tahun 2018 iaitu ‘Munafik 2’.
Filem bergenre seram dan sarat dengan elemen keagamaan ini agak menarik dari segi jalan cerita serta sinematografinya kerana ianya sangat berlainan dengan sekuelnya yang pertama. Ia juga sangat berlainan dari filem-filem tempatan yang ada pada masa kini.
Pembukaaan filem ini bersambung dari adegan terakhir di dalam filem ‘Munafik’ (2016) dan ia dilakukan dengan sangat baik kerana berjaya membuat punggung penonton terus melekat di kerusi. Selain daripada itu, penonton juga tidak sempat untuk menjamah popcorn kerana jalan ceritanya sangat menarik serta membuatkan kita fokus kerana ingin tahu apa yang akan terjadi seterusnya.
Mesej yang ingin disampaikan melalui filem ini agak berat tetapi jalan ceritanya boleh difahami penonton kerana ia diceritakan dengan sangat baik apabila ia disulam dengan plot dan elemen agama dengan ‘padu’ kerana banyak pengajaran yang boleh diperolehi.
Skrip yang menarik dan lontaran dialog watak-watak didalam filem ini juga sangat baik. Syamsul Yusof yang juga pemenang Anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-24 (2011), bijak merancang jalan cerita dan menulis skrip kerana ada ayat-ayat tajam yang boleh dituju kepada individu yang menggunakan agama untuk kepentingan diri sendiri atau lebih dikenali sebagai penunggang agama. Tambahan pula, filem ini mampu membuatkan penonton berasa sangat kerdil di sisi Tuhan.
Di dalam filem ini juga, kita dapat merasakan betapa beratnya tanggungjawab seorang pendakwah sebenar kepada masyarakat, keluarga dan keadaan masyarakat yang lemah imannya untuk menolak ajaran sesat secara berani.
Pujian juga wajib diberi kepada Syamsul Yusof, Maya Karin, Fizz Fairuz, Nasir Bilal Khan, dan Mawi serta ramai lagi pelakon di dalam filem ini. Mereka berjaya membawa watak dengan sangat baik baik dari karakter antagonis ataupun protagonis. Filem ini turut menampilkan pelakon cantik dari Indonesia, Wedi Panca sebagai wanita misteri.
Seram dan suspens bagi filem ini agak berlainan dari filem pertama kerana permainan kameranya, editing dan pembinaan suspens yang menjadi. Tidak lupa juga tona warna filem yang agak gelap juga membantu membina mood seram bagi filem ini. Hati-hati dengan jump scare filem ini!
Hampir seluruh netizen di media sosial menyukai filem ini dan memberikan reaksi positif serta memberikan rating yang baik untuk 'Munafik 2'
Cuma mungkin kurangnya filem ini adalah, kelogikan ketika babak di rumah Ustaz Adam yang sangat gelap seumpama lansung tiada lansung lampu di rumah dan adegan Sakinah (Maya Karin) bersama anaknya yang terpaksa bersembunyi di dalam gua untuk tidak ditemui oleh Abuja (Nasir Bilal Khan) dan pengikutnya.
Sakinah ditemui dengan mudah oleh Abuja dan pengikutnya seumpama laluan gua itu adalah laluan biasa bagi mereka.
Tetapi ini adalah perkara kecil dan tidak mencacatkan filem dan menganggu jalan cerita. AMARAN! Ibu mengandung dan pesakit jantung dinasihatkan tidak menonton filem ini.
MINOR SPOILER ALERT ! Plot ‘twist’ kali ini lebih menarik dari filem ‘Munafik’ (2016)!
* Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI
#filem #Filem Review #Maya Karin #movie #munafik #Munafik 2 #Syamsul Yusof
;