"Mulut tempayan boleh tutup, mulut manusia tidak boleh kawal" - Isteri Abam Bocey
Gempak
Disember 9, 2017 05:00 MYT
Disember 9, 2017 05:00 MYT
ISTERI Abam (Bocey), Siti Norhidayah Mohd Ali, 25, mengakui senyuman pelawak tersebut membuka hatinya untuk mengenali suaminya itu dengan lebih dekat.
Mengenali Abam sebelum lelaki tersebut bergelar artis, Siti Norhidayah atau Hidayah berkata, perkenalan mereka bermula di laman sosial Facebook (FB).
"Saya kenal Abam di FB dan kami berkawan biasa dan saya sendiri tidak sangka dia akan bergelar artis seperti hari ini.
"Kami tak keluar ‘dating’ hanya berhubung di FB dan telefon. Pertama kali berjumpa ialah ketika Abam menyertai program Raja Lawak 6," katanya kepada Astro Gempak.
Tambah Hidayah, dia tahu ada segelintir netizen melemparkan komen negatif terhadap dirinya di laman sosial.
Namun, dia mengambil pendekatan untuk tidak menghiraukan tohmahan tersebut.
"Abam ada pesan, kalau tengok media sosial, tak payah baca komen sebab nanti sakit hati.
"Tak apalah, mulut tempayan boleh ditutup mulut manusia kita tak boleh nak ‘control’. Apa-apa pun saya tak simpan dalam hati,” ujarnya.
Hidayah sah bergelar isteri kepada Abam atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 29, dengan sekali lafaz tepat pukul 3.30 petang, 8 Disember 2017 di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam.
Pasangan suami isteri itu dinikahkan Ustaz Kamal Salam, Penolong Pendaftar Nikah Sabak Bernam, berwakil walikan bapa pengantin perempuan Mohd Ali Bahtin.
Pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin sebanyak RM3,000 berserta 9 dulang hantaran dibalas 11 oleh pihak perempuan dengan wang hantaran berjumlah RM13,888.