Muhammad Idris Ezzwa jadi kasih sejati terbaharu Misha Omar
Astro Awani
September 2, 2016 20:47 MYT
September 2, 2016 20:47 MYT
Penyanyi Misha Omar, 34, bersyukur apabila keadaan kesihatan bayi sulungnya yang dilahirkan pada 24 Ogos lalu semakin positif dan dibenarkan doktor untuk pulang, malam semalam selepas seminggu ditahan di hospital.
Bayi yang diberi nama Muhammad Idris Ezzwa itu dilahirkan di Hospital Canselor Tunku Mukhriz , Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, pada jam 10.20 malam.
Bayi seberat 2.05 kilogram itu dilahirkan secara normal, tiga minggu lebih awal daripada tarikh jangkaan selepas Misha, mengadu tidak selesa sebaik selesai penggambaran muzik video lagu duet terbaharunya bersama Adibah Noor, Jiwa Sentuh Jiwa di Morib.
Misha berkata, ketika ini keadaan ibu dan bayi sihat namun namun atas permintaan doktor yang merawatnya, Prof Dr Mohd Hashim Omar, mereka terlebih dulu tidak dibenarkan menerima kunjungan tetamu untuk memastikan bayinya bebas daripada masalah kesihatan.
Mengulas mengenainya, Misha berkata: “Sepanjang seminggu lalu, saya melalui episod getir yang menguji kasih sejati seorang ibu. Alhamdulillah, Idris menunjukkan perkembangan kesihatan yang positif sepanjang berada di bawah pengawasan doktor dan dibenarkan pulang pada Khamis malam.
Misha juga berterima kasih kepada semua peminat yang mendoakan kesejahteraan dirinya dan anak.
Pada masa sama, Misha terharu apabila ramai yang turut berkongsi kegembiraannya dan suami menimang cahaya mata sulung selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.
Disebabkan doktor menasihatkan untuk tidak terlebih dulu menerima tetamu, Misha sedia berkongsi foto terbaharunya bersama bayi.
Misha bersyukur kerana keadaan kesihatannya juga semakin pulih dan masih dalam proses menyesuaikan diri dengan suasana baharu.
* Idris ialah bayi sulung hasil perkahwinan Misha dan juruterbang, Firos Ezzwan Rosly, 34, yang diijab kabulkan pada 2 Mei 2014. Sebelum ini, pasangan itu memiliki dua anak angkat iaitu Muhammad Adam Emir, 10, dan Humaira Lateefa, 4.