Muhammad Bilal sepatutnya berkongsi tarikh lahir dengan Neelofa

Rahimah Abdullah
Februari 10, 2022 15:38 MYT
Neelofa mendedahkan anaknya, Muhammad Bilal sepatutnya dilahirkan pada hari ini (10 Februari) iaitu jatuh pada tarikh lahir pengacara dan usahawan tersohor itu. - Gambar Instagram @neelofa
KUALA LUMPUR : Neelofa mendedahkan anaknya, Muhammad Bilal sepatutnya dilahirkan pada hari ini (10 Februari) iaitu jatuh pada tarikh lahir pengacara dan usahawan tersohor itu.
Namun, ujar Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, segalanya adalah aturan Allah yang disusun dengan jauh lebih baik.
Malah, Muhammad Bilal merupakan hadiah paling istimewa buatnya sempena hari kelahirannya ke-33 tahun.
"Permata hati kurniaan Allah ini sepatutnya lahir juga pada hari yang sama dengan Ummi dia, tetapi aturan dan waktu yang Allah susun itu jauh lebih baik.
"Hadiah teristimewa buatku, menjadikanku seorang ibu," katanya di laman Instagramnya pada Khamis.
Dia juga berharap anak lelakinya itu menjadi anak soleh dan permata keluarga yang sentiasa menguatkan kasih sayang dan hubungan dengan Allah.
BACA: Neelofa selamat bersalin, putera sulung diberi nama Muhammad Bilal
Sementara itu, laman sosial Instagram Neelofa turut dibanjiri ucapan tahniah dan selamat hari lahir usahawan itu.
Neelofa selamat melahirkan Muhammad Bilal di sebuah pusat perubatan di ibu negara pada 29 Januari lalu.
Dia dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz berkahwin pada 27 Mac tahun lalu.
#Neelofa #Muhammad Bilal #PU Riz #usahawan
;