Mufti WP perjelas hukum tonton siaran di kotak Android
Astro Awani
November 25, 2021 10:00 MYT
November 25, 2021 10:00 MYT
KUALA LUMPUR: Penggunaan kotak Android atau Android box untuk mengakses siaran berbayar dan hak cipta lain dengan cara yang salah adalah diharamkan kerana mencerobohi hak dan menzalimi pihak lain.
Jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ia berikutan pengguna peranti berkenaan mendapat akses kepada siaran berbayar tanpa melanggannya yang akan menyebabkan kerugian kepada syarikat penyiaran.
Walaupun pada asalnya pembelian kotak Android itu adalah harus, namun sekiranya pembelian itu untuk tujuan mendapat akses siaran berbayar dengan cara salah maka ia adalah haram.
"Justeru, permasalahan ini adalah sama mengambil hak orang lain dengan cara yang batil dan menzalimi syarikat penyiaran serta pihak-pihak berkaitan dengannya. Perbuatan ini juga telah dilarang oleh Allah SWT.
"Adapun bagi perbuatan membeli dengan tujuan untuk menonton siaran percuma atau fungsi-fungsi lain yang tidak melibatkan hak pihak lain dan mencerobohi hak-hak mereka, maka pembelian atau penggunaannya adalah diharuskan syarak sekiranyya menepati syarat dan rukun jual beli," dalam muat naik di portal muftiwp.gov.my bagi menjawab soalan berhubung kotak android.
Kotak Android adalah alat atau peranti untuk membolehkan televisyen mendapat siaran-siaran dari seluruh dunia.
Ia juga membolehkan televisyen menyiarkan perkhidmatan siaran strim lain yang biasanya hanya boleh diakses melalui komputer, telefon dan peranti pintar serta aplikasi.
Terdapat dua bentuk siaran yang akan diperoleh melalui penggunaan peranti tersebut iaitu siaran berbayar dan siaran percuma.
Justeru kenyataan itu menyebut, tidak timbul sebarang isu syariah bagi kategori siaran percuma kerana ia boleh digunakan oleh semua orang.
Namun begitu, timbul isu syariah bagi kategori siaran berbayar yang sepatutnya pengguna bayar terlebih dahulu untuk mendapat akses siaran tersebut.
Terdahulu, Pengarah Kawal-Selia Astro Malaysia Holdings Bhd, Laila Saat, berkata, pihak Astro mengalu-alukan tindakan yang diambil terhadap penstriman haram menggunakan kotak media Android.
Pihak Astro juga jelasnya akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan rakan kandungan untuk menghantar mesej bahawa cetak rompak kandungan ialah suatu perbuatan mencuri kandungan yang salah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.