MONSTA lancar promosi BoBoiBoy Galaxy WINDARA

Bernama
Jun 1, 2024 09:10 MYT
Dalam BoBoiBoy Galaxy WINDARA, watak makhluk asing baharu diperkenalkan sebagai makhluk yang menarik dan kelihatan seperti manusia. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Animonsta Studios (MONSTA) teruja mengumumkan pelancaran dan promosi BoBoiBoy Galaxy WINDARA di MONSTA Network, hab animasi utama syarikat itu.
Dalam satu kenyataan semalam, MONSTA memaklumkan bahawa rangkaiannya akan berfungsi sebagai platform utama untuk mempromosi dan menyiarkan BoBoiBoy Galaxy WINDARA kerana rangkaian itu terdiri daripada pelbagai saluran YouTube, akaun media sosial rasmi dengan trafik harian yang tinggi.
MONSTA memaklumkan berikutan kejayaan luar biasa BoBoiBoy Galaxy SORI, plot baharu ini menampilkan set watak, dunia dan kuasa yang menarik. Syarikat itu telah memperkenalkan barisan pelakon suara baharu untuk watak mereka yang pelbagai, bertutur dalam dialek Borneo dan Indonesia.
Watak makhluk asing baharu telah diperkenalkan sebagai makhluk yang menarik dan kelihatan seperti manusia. Idea ini tercetus oleh serangga yang biasa dilihat oleh golongan belia seperti rama-rama, semut, kumbang dan banyak lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA Nizam Razak berkata BoBoiBoy sentiasa digambarkan sebagai tonggak kekuatan dan tanggungjawab dalam cerita bagi penonton muda mereka.
"Pada musim ini, kami akan menampilkan kisah kepayahan BoBoiBoy sebagai pemegang Elemental yang terkenal dan berharap dapat mengajar penonton muda kami tentang tanggungjawab dan bagaimana seseorang itu memerlukan bantuan rakan, mentor, dan naluri sendiri untuk belajar dan membentuk watak sebenar mereka," beliau dipetik sebagai berkata dalam kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, BoBoiBoy Galaxy WINDARA meneruskan jalan cerita BoBoiBoy Galaxy SORI berakhir. Plot cerita berikutnya mengisahkan adiwira muda kita, BoBoiBoy, yang berdepan dilema untuk mengembalikan kuasa Elemen Anginnya kepada pemilik sahnya, Kuputeri, penguasa Planet WINDARA untuk menyelamatkan rakyatnya daripada penakluk yang zalim.
Melalui pelbagai saluran YouTube dan akaun media sosial rasmi yang mempunyai trafik harian yang tinggi, peminat dan penonton dari seluruh merata dunia boleh mengakses episod baharu dan penglibatan dalam talian yang menarik dengan mudah. Kehadiran dalam talian MONSTA Network yang mantap menjanjikan penonton fenomena superhero.
Mulai Jun ini, peminat boleh menonton kesinambungan siri yang dinanti-nantikan di Rangkaian MONSTA di YouTube, bersama-sama platform lain seperti NETFLIX Asia Tenggara, TV9 Malaysia, Astro Ceria Malaysia, RTV Indonesia, dan Suria Saluran 5 di Singapura.
Nantikan babak baharu yang menarik dalam saga BoBoiBoy yang menjanjikan pengembaraan, keseronokan dan pelajaran hidup yang berharga untuk penonton dari semua peringkat umur.
-- BERNAMA
#MONSTA #BoBoiBoy Galaxy WINDARA #animasi #makhluk asing
;