Monoloque berkolaborasi dengan Kimal Margasatwa, NJWA untuk lagu 'Selamatkan Legasi'
Astro Awani
September 12, 2020 10:00 MYT
September 12, 2020 10:00 MYT
LAPAN tahun lepas, Loque atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Anuar cuba tampil dengan lagu 'Selamatkan Legasi', namun 'semangat' lagu itu belum hadir hingga dia terpaksa melupakannya buat seketika.
Namun 'semangat' yang tidak muncul lapan tahun lalu ditemui bersama penampilan penyanyi kumpulan Margasatwa, Kimal dan penyanyi NJWA.
“Lagu Selamatkan Legasi ini sudah ada sejak 2012 tetapi ‘feel’nya kurang kerana ‘pitch’ lagu ini sangatlah tinggi dan saya tak boleh nak sampai sehinggakan lagu ini terpaksa digugurkan dalam album Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu Di Abad ke-21).
“Apabila diperam selama 8 tahun, kami kemudiannya bedah siasat dan merombak semula sehinggakan kami merasa amanat untuk membawa lagu ini adalah ditakdirkan bersama-sama dengan Kimal Margasatwa dan NJWA.
"Anggaplah ada unfinished business, suatu projek terbengkalai dan sekarang merupakan masa yang paling tepat untuk menzahirkannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Loque, lirik lagu 'Selamatkan Legasi' seolah-olah satu seruan kepada seluruh rakyat Malaysia sempena menyambut ulangtahun ke-63 kemerdekaan negara.
Selain itu, Loque juga menganggap kelahiran semula 'Selamatkan Legasi' menandakan eksperimentasinya menerusi 'Projek Gamelan' menuju garis penamat.
Bagi Kimal Margasatwa, peluang merakamkan 'Selamatkan Legasi' merupakan satu pengalaman manis buatnya.
"Selamatkan Legasi adalah lagu yang asalnya tidak dimuatkan dalam album piring hitam vinyl Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu Abad ke-21).
"Kini diberi nafas baru dan dipersembahkan semula untuk tontonan umum oleh monoloQue diperkasakan dengan kehadiran saya dan NJWA," katanya.
NJWA pula menganggap setelah sekian lama 'Selamatkan Legasi' disimpan, hasilnya sangat memuaskan.
“Quite a journey lah lagu ni. Lama nak siap, lama diperap tapi hasilnya pasti mantap!” ulas NJWA yang merupakan pemangkin kepada projek Gamelan.
Ketika menghasilkan album Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu Abad ke-21), Monoloque bekerjasama Muzium Pahang Di Raja.
Menurut jurucakap Muzium Pahang Di Raja, Datuk Farid Abd Jalal, bekerjasama dengan Loque amat bertepatan kerana sentiasa mempunyai idea-dea baru dan berani.
“Projek album gamelan ini istimewa kerana ia ibarat satu perjalanan seni yang cukup menarik bermula dari 1811 sehingga 2020.
"Melalui projek ini, irama dan kehalusan gamelan Melayu yang pernah berkumandang di istana Pahang pada satu ketika dahulu, kini telah dapat didengari oleh seluruh penduduk dunia pada era milenia ini," katanya.
#Bunyian Gamelan Melayu Abad ke-21
#Kimal
#Lagu Perang
#Margasatwa
#Monoloque
#Muzium Pahang Di Raja
#NJWA
#Selamatkan Legasi