Monolog tiga pelakon hebat dalam teater kompilasi
Astro Awani
Oktober 18, 2013 11:00 MYT
Oktober 18, 2013 11:00 MYT
Teater kompilasi 'Laut Lebih Indah Dari Bulan' diklasifikasikan untuk tontonan 18 tahun ke atas saja.
Ini kerana isu-isu yang dibangkitkan di dalam pementasan itu dirasakan hanya sesuai untuk penonton yang matang sahaja.
'Laut Lebih Indah Dari Bulan' merupakan antologi skrip tulisan Nam Ron yang dibukukan oleh syarikat penerbitan Merpati Jingga pada 2012.
Menurut penerbit teater tersebut, isu yang dibangkitkan mengenai seks, rumah tangga dan pembunuhan membuatkan pementasan diterhadkan untuk tontonan 18 tahun ke atas.
Sebagai pengarah, Nam Ron merancang untuk membawa teater ini ke Singapura dalam apa jua cara.
Pementasan itu dibahagikan kepada tiga segmen yang mana pelakon perlu menyampaikan naskhah tersebut secara bermonolog.
Tiga segmen berkenaan ialah 'Aku Nak Jadi Bintang' oleh Sharifah Amani, 'Laut Yang Tenang' oleh Vanidah Imran dan 'Laut Lebih Indah Dari Bulan' oleh Datin Sofia Jane.
Meskipun ditulis seorang lelaki, teater ini mengetengahkan tema feminisme yang disulami unsur kemanusiaan dan nilai sosial.
Turut membuat penampilan khas ialah pelakon, Aqasha dalam monolog bersama Vanidah.
Teater 'Laut Lebih Indah Dari Bulan' akan dipentaskan di Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Empire Damansara pada 1 hingga 3 November ini.