Momen mengharukan Virgil Abloh dan Kanye West di pertunjukan fesyen LV
Azyyati Ahmad
Jun 23, 2018 22:07 MYT
Jun 23, 2018 22:07 MYT
PENGARAH Artistik baharu bagi jenama terkenal Louis Vuitton (LV), Virgil Abloh dilihat tidak dapat menahan emosi ketika memeluk sahabat dan juga mentornya, penyanyi Kanye West di pentas peragaan.
Seperti pertunjukan yang lain, Abloh keluar ketika semua koleksinya selesai ditampilkan dan lantas merangkul sahabat baiknya Kanye West.
Abloh yang turut mencipta sejarah sebagai pereka fesyen LV berkulit hitam yang pertama, menggalas posisi itu di rumah fesyen LV, telah membuat penampilan pertama koleksi Spring Summer 2019 Khamis lalu, di Minggu Fesyen Perancis.
Memperkenalkan 56 koleksi pakaian lelaki pada persembahan pertamanya, Abloh berkata, ia merupakan koleksi transformasi LV yang digelarkan ‘Colour Theory’.
Paling menarik, Abloh membawa model dari pelbagai negara bagi menggayakan kesemua koleksinya.
Di tengah isu rasis yang diperkatakan, pertunjukan ini dihadiri oleh sahabat dan selebriti yang kebanyakannya adalah kulit hitam.
Antara yang hadir Rihanna, Kim Kardashian, Kylie Jenner, Chadwick Boseman dan Travis Scott.