"Mohon maaf khilaf anakanda kami..." - Ibu Aliff Aziz akan terus nasihat hingga tutup mata
Gempak
Jun 21, 2024 09:20 MYT
Jun 21, 2024 09:20 MYT
SEORANG pengguna media sosial mendoakan ibu kepada penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz iaitu Siti Hafiza agar terus tabah menghadapi ujian yang melanda dirinya dan keluarga ketika ini.
Menerusi perkongsian di Instagram, individu tersebut berkata, ujian yang diberikan kepada Siti Hafiza sekeluarga merupakan tanda mereka disayangi Allah.
"Semoga puan (Siti Hafiza) kuat menghadapi ujian ini. Allah uji tanda Allah sayang dan mahu mengangkat darjat puan sekeluarga.
"Hari ini kita diuji dan kita sempat muhasabah diri dan perbaiki apa yang patut agar menjadi lebih baik. Yang memaki hamun risau tak sempat nak mohon maaf, ajal menjemput,” katanya.
Pada perkongsian yang sama, individu berkenaan berkata dia juga pernah menyimpan perasaan marah dengan tindakan Aliff, namun berasa tidak adil untuk menilai dan menghukum seseorang yang tidak dikenali.
"Saya dulu juga pernah ada rasa marah pada Aliff dan puan yang sentiasa ada di belakang Aliff. Tetapi bila difikirkan balik, tidak adil untuk berperasaan begitu berdasarkan penilaian dalam media sosial.
"Dan tidak adil menuding jari pada salah orang, sedang diri sendiri juga banyak khilaf. Maafkan saya puan.
"Saya kagum puan menjadi ibu yang sangat kuat. Moga terus diberikan kekuatan yang kuat,” katanya lagi.
Sementara itu, Siti Hafiza menerusi ruang kapsyen meluahkan rasa syukur kepada Ilahi dan memohon maaf bagi pihak anaknya.
"Allah ilhamkan insan yang hebat ini menulis kepada saya. Sesungguhnya Allah Maha Baik. Kami juga memohon maaf atas kekhilafan anakanda kami yang menyinggung perasaan.
"Insya-Allah kami akan terus nasihat dan mendoakan anakanda kami hingga kami menutup mata,” ujarnya.
Terdahulu, Siti Hafiza kembali memuat naik perkongsian di Instagram setelah lama menyepi disebabkan Instagram miliknya dinyahaktifkan.
Menerusi perkongsian itu, Siti Hafiza memanjatkan rasa syukur segala urusan dipermudahkan dan hanya Allah dapat membalas budi mereka yang sentiasa mendoakan.
Sementara itu, Siti Hafiza turut menulis mengenai ketenangan hati serta membuat refleksi diri berkenaan jatuh bangun dalam kehidupan.
Pada 13 Jun lalu, Aliff Aziz dan Bella Astillah sah bercerai talak satu. Aliff turut menyerahkan hak jagaan anak-anak kepada bekas isterinya dan Bella tidak menuntut mutaah serta harta sepencarian.