MLM 2018: Kemenangan Shiro tidak perlu dipertikai - Douglas Lim
Gempak
Januari 19, 2019 08:28 MYT
Januari 19, 2019 08:28 MYT
KUMPULAN Shiro diumumkan sebagai juara Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) sekali gus membawa pulang hadiah paling lumayan berupa wang tunai sebanyak RM500,000.
Ketua Juri, Douglas Lim berkata, kemenangan Shiro tidak perlu dipertikai apabila melihat jumlah markah mereka jauh mendahului peserta lain.
“Mereka menunjukkan konsisten dari minggu pertama sehingga minggu ke-12. Pada semi final sebelum ini mereka agak kurang pada persembahan pertama dan mereka mengakuinya kerana mungkin tak cukup latihan,” katanya pada sidang media MLM 2018 di Royal Theatre, Shah Alam, Selangor malam tadi.
Ujarnya, dari aspek kematangan komedi iaitu kualiti jenaka dengan kepelbagaian lawak selain penggunaan seperti props, baju dan ‘sound effect’ menjadi suatu benda yang dibanggakan pada persembahan kelima peserta di final MLM 2018.
Naib Juara MLM 2018 pula diberikan pada kumpulan Bocey dengan hadiah wang tunai sebanyak RM250,000.
Tempat ketiga menjadi milik kumpulan Zero dengan wang kemenangan sebanyak RM150,000.
Kumpulan Puteh meraih RM50,000 di tempat keempat manakala tempat kelima bersama RM15,000 dimenangi Taman.
Hadiah kesemua pemenang disampaikan Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh bersama pelakon popular, Wan Maimunah.
Dari segi keputusan markah Shiro meraih 74 peratus diikuti Bocey (67.29 peratus), Zero (66.93 peratus), Puteh (62.58 peratus) dan Taman (62.13 peratus).
#Douglas Lim
#kematangan komedi
#kualiti jenaka
#lawak
#Maharaja Lawak Mega
#MLM 2018
#persembahan
#Shiro