Miss Universe Malaysia dedah dijangkiti COVID-19 awal Januari lalu
Astro Awani
Januari 21, 2021 21:37 MYT
Januari 21, 2021 21:37 MYT
KUALA LUMPUR : Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James mendedahkan dirinya disahkan positif COVID-19 awal Januari lalu.
Namun anak jati Sarawak itu berkata, dia kini sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan wabak berkenaan.
Menerusi perkongsian di laman Instagramnya, Francisca mendedahkan dia sudah mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan sebaiknya, namun tetap dijangkiti COVID-19.
“Saya mematuhi segala SOP dengan memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman, membasuh tangan dan garis panduan lain tetapi ia tetap berlaku.
“Namun saya akui ini merupakan kecuaian diri sendiri dan saya berjaya mengharunginya,” kata Francisca.
Menerusi perkongsian itu juga, Francisca turut berkongsi perasaannya sejurus menerima keputusan dia positif virus tersebut.
“Sewaktu menerima keputusan itu, saya menggigil dan terus menghubungi kedua-dua ibu dan bapa walaupun saya tahu mereka akan bertambah bimbang sekiranya mendapat tahu tentang berita ini.
“Namun merekalah yang menenangkan saya dan meminta saya untuk terus mematuhi SOP yang digariskan,” tambahnya.
Menurutnya lagi, dia juga menghubungi pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri kerana tidak mempunyai sebarang simptom kecuali sedikit sakit di belakang badan serta selesema ringan.
“Saya memohon maaf kerana tidak memaklumkan perkara ini (sebelum ini) namun saya sudah memaklumkan perkara ini kepada semua kontak rapat.
“Mereka juga sudah menjalani ujian saringan dan disahkan negatif.
“Saya juga sudah menjalani ujian saringan kedua selepas kuarantin 10 hari dan saya bersyukur kerana ia negatif,” ujarnya menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya.
#Miss Universe Malaysia 2020
#Francisca Luhong James
#positif COVID-19
#pandemik
#Kementerian Kesihatan Malaysia
#SOP
#ratu cantik
#Anak jati Sarawak