Misha Omar minta maaf, tiada niat menyentuh hati wanita berusaha dapatkan zuriat
Gempak
Februari 21, 2022 10:12 MYT
Februari 21, 2022 10:12 MYT
PENYANYI Misha Omar memohon maaf kepada wanita yang sedang berusaha mendapatkan zuriat.
Kata Misha, 40, dia menyedari ada wanita yang terasa hati atau sensitif apabila mendapat tahu dia kini sedang menjalani rawatan kesuburan IVF (persenyawaan in-vitro).
“Saya tidak mahu bercerita lanjut lagi mengenai rawatan kesuburan yang saya lakukan ini. Cuma buat masa sekarang ni saya minta doakan sahaja. Sekiranya dah berhasil nanti saya akan beritahu.
“Bukan apa, rupanya selama ini apabila saya kongsi mengenai ini secara terang ada wanita yang sedang struggle untuk mendapatkan anak terasa hati. Saya faham dalam soal zuriat ini semua orang sensitif.
“Jadi saya minta maaf jika ada yang terasa hati itu.,” katanya kepada Astro Gempak.
Misha ditemui selepas makan malam amal Bunga Bunga Cinta Misha Omar Charity & Fundraising Gala Dinner di Hotel Royale Chulan, malam semalam.
Terdahulu, di Instagram Misha pernah mendedahkan dia menjalani rawatan kesuburan di sebuah pusat perubatan untuk menimang cahaya mata kedua.
Malah, dia juga mencipta tanda pagar #menjejakkhadeja kerana berhasrat memiliki anak perempuan.
Tambah Misha dia tak menyangka perkongsian dia itu menyinggung ramai pihak.
“Saya ingat saya mahu memberi kesedaran sahaja bahawa meskipun usia saya sudah lewat tetapi tidak pernah putus asa.
“Saya nak beritahu kita sama sedang berusaha, tak kiralah saya ni artis ke orang biasa, itu semua rezeki dari Allah.
“Jadi jangan pandang dari sudut yang sedih kerana benda ini pasti akan jadi perkara yang sensitif,” jelasnya lagi.
Misha bertemu jodoh dengan juruterbang, Firros Ezzwan Rosly pada 2 Mei 2014 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Idris Ezzwa yang kini berusia lima tahun.
Selain itu, Misha juga memiliki seorang anak angkat, Muhammad Adam Emir, 15.
Misha membuat persembahan dan mendendangkan lagu-lagu popularnya di makan malam amal itu merupakan salah satu inisiatif bagi memulihkan kembali industri seni hiburan tanah air yang teruk terjejas dengan bantuan sektor korporat.
Penganjurnya The H Entertainments Sdn Bhd atau The H, akan menyerahkan kutipan bagi jualan tiket serta sumbangan itu kepada Persatuan Kebajikan Semerah Padi Perak (Persedim) dan Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (Papita).
*Artikel asal di Gempak