Misha Omar kongsi pengalaman redah banjir, 'tersadai' depan Sogo
Gempak
Disember 19, 2021 18:06 MYT
Disember 19, 2021 18:06 MYT
PENYANYI Misha Omar tidak menyangka akan berdepan detik mendebarkan apabila terperangkap dalam bencana banjir yang melanda ibu kota, sejak semalam.
Kejadian tidak terduga itu terjadi usai Misha membuat persembahan di sebuah acara penganugerahan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), malam tadi.
Menurut Misha, dia dan kakak yang juga pengurusnya, Mimie Omar pada mulanya mahu menginap di bilik hotel berhampiran kerana tidak mahu terperangkap dalam kesesakan jalan raya atau banjir untuk pulang ke rumah.
Namun, keadaan itu berubah apabila mereka dimaklumkan tempat parkir kenderaan sudah mula dinaiki air.
“Kami dimaklumkan air di bahagian basement parking sudah ditenggelami air sehingga buku lali.
“Tanpa berfikir panjang, dalam keadaan kelam kabut saya redah banjir dengan heels dan mahu segera keluar dari kawasan parking.
“Memang waktu itu keadaan sangat kelam kabut kerana ramai yang mahu menyelamatkan kereta ke tempat lebih selamat dan keluar dari kawasan tersebut,” ujar Misha sewaktu dihubungi Gempak.
Misha dan suami serta anak lelaki sulungnya, bagaimanapun sekali lagi berhadapan saat cemas apabila terperangkap di hadapan kawasan jalan Sogo kerana paras air dari sungai berdekatan sudah mula melimpah keluar.
“Kami dan banyak kenderaan lain terperangkap di hadapan Sogo bila air mula melimpah ke jalan raya. Mujur, semuanya selamat,” ceritanya lagi.
Menyifatkan pengalamannya tidak seberat dugaan dan ujian yang sedang dilalui mangsa banjir yang lain, Misha mendoakan agar semua berada dalam keadaan selamat dan negera segera pulih dari musibah yang melanda.
“Pengalaman saya tidaklah sebesar dugaan yang sedang dialami oleh banyak rakyat Malaysia yang lainnya. Kereta tenggelam, rumah ‘hilang’ yang tinggal paras bumbung.
“Demi Allah tak terbayang saya ujian mereka. Semoga semuanya dipermudahkan dan sama sama kita berdoa agar hujan cepat berhenti dan banjir segera surut,” katanya.
Artikel asal di Gempak boleh dibaca di sini.