Misha Omar, keluarga sembuh dari COVID-19: Vaksin dan penggalak buat simptom tidak teruk

Gempak
Mac 11, 2022 18:48 MYT
Misha mendedahkan, dia dijangkiti virus tersebut bersama suaminya, Firos Ezzwan Rosly dan anak bongsu mereka, Idris, sekitar dua minggu lalu.
PENYANYI Misha Omar mengumumkan dirinya telah bebas dan sembuh dari jangkitan COVID-19.
Pengakuan itu dibuat menerusi laman Instagramnya, sebentar tadi.
“Alhamdulillah Kak Mitch semakin sihat,” tulisnya.
Pelantun Sampai Bila itu sewaktu dihubungi Gempak kemudian mendedahkan dijangkiti virus tersebut bersama suaminya, Firos Ezzwan Rosly dan anak bongsu mereka, Idris, sekitar dua minggu lalu.
Namun, mereka bertiga kini telah menamatkan kuarantin kendiri dan disahkan pulih sepenuhnya dari COVID-19.
“Saya, suami dan Idris sedar dijangkiti COVID-19 selepas kami pergi melakukan tes bersama sama selepas Idris mengalami demam panas yang agak tinggi beberapa minggu lalu.
“Satu satunya ahli keluarga di dalam rumah kami yang negatif adalah anak sulung, Adam,” dedah Misha.
Meski demikian, Misha mengaku mereka tidak mengalami simptom yang teruk sehingga tidak menyedari sedang dijangkiti virus membunuh tersebut.
“Saya dan suami tidak mengalami gejala berat, kecuali Idris yang demam dengan suhu agak tinggi. Jadi kami tak perasan sedang dijangkiti COVID 19.
“Cuma kini selepas pulih, saya mengalami gejala pening kepala. Alhamdulillah, yang lainnya semua okay,” tambah Misha lagi.
Misha kemudian menjelaskan hal yang membuat mereka barangkali tidak mengalami gejala teruk kerana sudah lengkap divaksinasi dan mengambil booster.
“Saya fikir vaksin yang lengkap dan pengambil booster membuat gejala yang kami alami sewaktu positif COVID 19 ini sangat sederhana,” katanya lagi.
Beliau turut berpesan kepada para ibu bapa agar memantau dengan lebih rapat sekiranya anak anak mengalami demam yang agak tinggi.
“Peranan ibu bapa pula pantau sekiranya anak anak mengalami demam yang agak tinggi.
“Jangan tunggu, teruslah pergi melakukan tes,” pesan Misha.
Pada masa sama Misha juga mendoakan agar semua pesakit COVID 19 bertahan untuk pulih dan proses sihat dipermudahkan.
“Semoga proses kalian semua dipermudahkan dan terima kasih kerana mendoakan saya sekeluarga juga,” katanya.
#COVID-19 #Misha Omar #Firos Ezzwan Rosly #idris
;