MIPTV mahu Malaysia jadi tuan rumah 2016 - Finas
Bernama
April 11, 2014 11:00 MYT
April 11, 2014 11:00 MYT
Program televisyen terbesar dunia 'Marche International de Programmes de Television' (MIPTV) hari ini menawarkan Malaysia untuk menjadi tuan rumah acara MIPTV itu tahun 2016.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Md Afendi Hamdan berkata tawaran yang diberi oleh pihak pengurusan MIPTV membuktikan pengiktirafan terhadap industri perfileman serta drama di Malaysia adalah setanding di peringkat antarabangsa.
Md Afendi berkata MIPTV sebenarnya mahu Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun depan, namun atas beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan termasuk dari segi persediaan, Finas berharap peluang itu dapat dianjak setahun kemudian.
"Bukan mudah untuk anjurkan MIPTV ini, kita kena pastikan ada kos yang mencukupi. Ini kita perlu bincang terlebih dahulu. Kena pastikan juga syarikat penerbitan yang ada turut serta selain perlu mampu menyediakan tenaga kerja yang ramai," katanya kepada wartawan pada hari terakhir MIPTV 2014 di sini, yang bermula Isnin dan berakhir Khamis.
Beliau menjelaskan walaupun Malaysia bergelar hos pada 2016 ini bukan bererti MIPTV akan dibawa keluar dari Cannes, sebaliknya ia tetap diadakan di Palaes de Festival di French Riviera di sini yang cukup sinonim dengan acara itu sejak 1964.
"Maknanya di sini, bila Malaysia jadi tuan rumah maka segala persiapan dan perjalanan MIPTV di Cannes ini akan dikendalikan oleh kita sepenuhnya," katanya.
Md Afendi berkata sebagai tuan rumah, faedah yang dinikmati bukan sahaja dari segi industri perfileman dan drama tetapi juga oleh industri pelancongan.
"Bayangkan...seluruh bandar Cannes ini akan dipasang dengan bendera Malaysia. Turun sahaja dari lapangan terbang Nice akan nampak nama dan bendera Malaysia, poster berkaitan Malaysia malah teksi di seluruh Cannes pasang bendera Malaysia," katanya.
Mengulas tentang MIPTV 2014, Md Afendi berkata sambutan yang diterima 19 syarikat Malaysia yang terlibat kali ini amat menggalakkan dan beliau optimis sasaran jualan RM25 juta daripada pelbagai jaringan urus niaga merangkumi jualan produk, kerjasama produksi, pelesenan dan pengedaran dapat dicapai.
"Angka sebenar masih tak dapat diberikan kerana ada syarikat yang masih dalam rundingan dan belum 'closed-deal', tapi kita yakin sasaran itu mampu tercapai," katanya.
Md Afendi berkata dalam penyertaan MIPTV akan datang, Finas berhasrat membuat kelainan di Pavilion Malaysia dengan memaparkan lebih banyak identiti serta budaya pelbagai kaum rakyat Malaysia yang bertujuan mempromosi negara.
"Mungkin kita boleh pasang Gamelan, pakai pakaian tradisional kita dan Finas berharap Tourism Malaysia dapat turut serta untuk promosikan lagi pelancongan kita," katanya.
Sebanyak 10,000 peserta dari 90 negara menyertai MIPTV 2014 yang merupakan acara tahunan di Palaes de Festival pada musim bunga setiap tahun.
Penyertaan Finas pada MIPTV 2014 adalah hasil gabungan strategik kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Perbadanan Pembangunan Multimedia dengan sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia dan Pertubuhan Kandungan Kreatif Malaysia.