Mintalah kebenaran Life Records dulu - XPDC Militia
Sinar Harian
Februari 29, 2024 09:57 MYT
Februari 29, 2024 09:57 MYT
KEMELUT penggunaan nama XPDC oleh tiga band lain nampaknya masih belum menemui titik noktah dan sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peminat dan penganjur acara.
Bagaimanapun difahamkan dua daripada tiga band berkenaan iaitu XPDC Militia dan XPDC Kita Peng Yu sudah mendapat kebenaran syarikat rakaman Life Records selaku pihak yang bertanggungjawab memperkenalkan XPDC ke dunia seni.
Menurut kumpulan XPDC Militia, kumpulan yang menimbulkan salah faham berkenaan penggunaan nama XPDC sepatutnya menghentikan tindakan itu kerana mereka pada asalnya hanyalah 'tribute band' untuk menyanyikan lagu XPDC.
“Kalau boleh hentikanlah semua ini. Tak perlu nak cari publisiti murahan dengan menggunakan nama sama.
“Mereka sepatutnya kena minta kebenaran daripada syarikat label terlebih dahulu. Mereka hanyalah peminat yang menyanyikan semula lagu XPDC.
“Kalau tanya pendapat jujur saya, tak perlulah mereka nak pakai nama XPDC dan tubuhkan saja ‘band tribute’ atau ‘impersonator band’," ujar Eddie selaku pemain bass kumpulan XPDC Militia.
XPDC Militia ditemui pada majlis pelancaran Loop Music Festival yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Selasa.
Tambah pemain dram, Lola, kumpulan tersebut seharusnya perlu mengikuti saranan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernendez berkaitan tindakan band The Iron Maidens.
“The Iron Maidens pun minta izin dengan kumpulan Iron Maiden untuk menjadi sebuah ‘tribute band’. Ini kita bercakap tentang kumpulan terkenal di dunia.
“Ini adalah undang-undang yang diamalkan di seluruh dunia, jadi sewajarnya kita contohi mereka," tegasnya.
Kontroversi kemelut penggunaan nama XPDC timbul apabila muncul sebuah band yang menggunakan nama sama, sedangkan ramai yang sedia maklum hanya ada dua band sahaja dibenarkan berbuat demikian iaitu XPDC Kita Peng Yu dan XPDC Militia atas keizinan Life Records.
XPDC Militia menampilkan anggota asal band popular itu iaitu Izo (gitar) dan Ali menerusi album Samurai pada 1998 sebagai vokalis manakala Eddie dan Lola merupakan anggota baharu.
XPDC Kita Peng Yu pula ditubuhkan oleh anggota asal Zuar (bes) dan Amy (dram) manakala anggota baharu, Jeff (gitar) dan Ary menggantikan tempat Allahyarham Mael sebagai vokalis.
Selain XPDC Militia, festival muzik yang berlangsung bermula jam 2 petang hingga 11.30 malam itu turut menampilkan nama besar seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Amelina dan Noraniza Idris.
Penyanyi lain yang turut membuat persembahan ialah Masdo, Insomniacks, Ronnie Hussein, Nadeera Zaini, Aisha Retno, Usop, Sufian Suhaimi, Lucidradi, Disko Santan dan Arish Mikael.
Acara yang dibawakan khas oleh Air Asia dan Tune Group itu bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 11 Mei depan dijangka menghimpunkan 11,000 peminat muzik pelbagai genre. - Sinar Harian