Minta cerai dan mediasi gagal, Ari Wibowo akui masih tidur sekatil dengan isteri
Gempak
Mei 18, 2023 14:22 MYT
Mei 18, 2023 14:22 MYT
KISAH pergolakan rumah tangga aktor Ari Wibowo antara yang menjadi topik hangat dalam kalangan peminat seni Indonesia.
Masakan tidak, pasangan tersebut selama ini terlihat bahagia dengan perkahwinan yang sudah dibina selama 17 tahun.
Namun kini semuanya bertukar menjadi buruk apabila isterinya, Inge Anugrah mendedahkan sikap sebenar Ari kepada umum.
Malah sesi mediasi atau berbaik yang dijalani keduanya semalam turut bertemu jalan buntu. Walaupun hakim menasihatkan keduanya rujuk semula sebagai suami isteri, namun Ari menerusi peguamnya berkata kebarangkalian kembali bersama Inge adalah sangat tipis.
Meski tidak rasa akan rujuk semula, satu fakta yang membuatkan ramai tidak faham adalah Ari dan Inge masih tinggal serumah. Lebih daripada itu, Ari mengaku masih tidur sekatil dengan wanita yang mahu diceraikannya.
Menurut Ari, walaupun meminta cerai, sehingga kini dia masih berstatus sebagai suami Inge. Lantaran itu dia akan tetap melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami dan ketua keluarga.
“Selama belum ada keputusan di mahkamah kami cerai, dia tetap sah sebagai isteri saya.
“ Saya masih sah sebagai suami, dan saya harus memberikan apa selayaknya yang diberikan suami.
“Jadi saya tidak terlalu memikirkan apa yang orang cakap. Saya masih ketua keluarga yang perlu bertanggungjawab,” katanya seperti dilaporkan Insertlive.
Ari juga mengatakan selepas sah bercerai, barulah Inge bebas untuk melakukan apa yang disukainya.
“Kelak setelah bercerai, dia mahu keluar dengan siapa (lelaki), mahu buat apa, itu sudah bukan urusan saya lagi. Kami sudah bukan suami isterinya,” jelasnya lagi. -- Gempak