Mimi Loma meninggal dunia pada usia 75 tahun
Astro Awani
Ogos 21, 2021 10:22 MYT
Ogos 21, 2021 10:22 MYT
KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi veteran, Siti Aminah Ismail atau lebih masyhur dengan panggilan Mimi Loma kembali ke rahmahtullah pada usia 75 tahun awal pagi Sabtu.
Artis yang menempa populariti pada era 1960-an itu meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, di sini, pada pukul 2.19 pagi.
Mimi Loma yang juga adik kepada Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma dan seniwati Allahyarham Mariani Ismail itu menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang di sisi ahli keluarga dan jirannya.
Tidak mengalami sebarang sakit tenat, namun, Allahyarham sejak beberapa hari lalu mengalami cirit birit serta kurang selera makan.
"Kelmarin, arwah agak lemah dan sukar melelapkan mata. Apabila diberikan susu, arwah muntah dan cirit birit semula.
"Jadi, arwah hanya tidur dan tidak buka mata sepanjang hari, semalam. Apabila dipanggil, arwah tidak menyahut sehingga saya dan anak terpaksa memanggil berulang kali barulah memberi respons perlahan.
"Arwah tidak sakit tenat, namun mungkin kepenatan disebabkan tidak sihat, malam sebelumnya. Selalunya, apabila bangun arwah akan segar semula. Namun, saya tidak menyangka itu petanda ibu akan pergi selama-lamanya," kata anak tunggal Allahyarham, Sherina Othman kepada BH Online.
Allahyarham Mimi Loma yang pernah membintangi filem Ahmad Albab arahan abang iparnya, Allahyarham Tan Sri P Ramlee juga pernah melalui keuzuran berikutan penyakit darah tinggi selain mempunyai masalah penglihatan.
Selain Sherina, Allahyarham juga meninggalkan tiga orang cucu.
Jenazah Allahyarham Mimi Loma dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, pada pukul 11 pagi ini.